Perkembangan Terkini PKPB Bakal Diketahui Hari Ini

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan sejak 18 Mac lalu sudah memasuki hari ke-54. Persoalannya, adakah ianya akan berakhir atau akan disambung dengan sedikit kelonggaran? Semuanya dijangka diketahui melalui perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadual berlangsung jam 2 petang hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan untuk memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada 4 Mei lepas bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula walaupun PKP fasa keempat sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Ekoran pelaksanaan itu, pusat membeli-belah sudah boleh beroperasi. Orang ramai juga boleh mengunjungi restoran untuk menjamu selera dan kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang. Namun, kesemua itu masih perlu mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Oleh itu, tiada istilah ‘merdeka’ dalam situasi ini kerana selagi vaksin merawat pandemik maut itu tidak ditemui, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita menang ‘peperangan’ virus COVID-19.

Sedikit berbeza semalam apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diberikan ‘cuti’ oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) setelah hampir lima bulan bekerja tanpa henti memberikan perkembangan terkini mengenai COVID-19 kepada rakyat menerusi sidang media harian.

Walau bagaimanapun, pihak KKM masih memberikan perkembangan terkini mengenai COVID-19 menerusi kenyataan media dengan laporan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang daripada wad mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes baharu telah direkodkan.

Penularan wabak COVID-19 bukan perkara remeh. Oleh itu, tanamlah normal baharu dalam diri ketika keluar dari rumah. Kita juga digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Apa jua keputusan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan normal baharu iaitu mengamalkan penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan yang tinggi bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam masyarakat.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar tetap mematuhi perintah kerajaan dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca