Perkasakan Lagi Bahasa Kebangsaan, Netflix Malaysia Mula Membuat Ciapan Dalam Bahasa Melayu

Akaun Twitter syarikat penstriman Netflix kini mula menggunakan bahasa kebangsaan dalam membuat ciapan mereka sejak semalam.

Perkembangan itu dilaksanakan selepas seorang warganet sebelum ini menyuarakan pendapat bagi pentadbir akaun Netflix berinteraksi menggunakan bahasa kebangsaan negara ini menerusi platform media sosial itu.

Penggunaan bahasa Malaysia dalam akaun tersebut bagaimanapun difahamkan akan turut diselang-selikan dengan penggunaan bahasa Inggeris atau seperti yang dinyatakan di ruangan bio mereka, ‘Netflix, tapi rojak’.

“Hi semua, kami mendengar anda. Niat kami semestinya untuk mencetuskan kegembiraan kepada semua sama ada anda peminat Eleven ataupun Sebelas.

Mulai hari ini, kami akan menciap lagi kerap dalam bahasa Malaysia. Jika anda lebih suka bahasa Inggeris, jangan risau kami tetap adakan ciapan untuk anda juga,” kongsi pihak Netflix Malaysia pada petang semalam.

Akaun Twitter laman penstriman kegemaran ramai itu dilihat turut membuat ciapan berunsurkan jenaka dengan menggunakan bahasa Melayu.

Dengan penggunaan bahasa Malaysia dalam membuat ciapan dan juga di ruangan bio mereka, akaun Twitter Netflix Malaysia kini mula menyertai beberapa lagi negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Jepun yang turut menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dalam membuat ciapan.

Terdahulu, ramai warganet menggesa akaun Twitter Netflix Malaysia (@NetflixMY) bagi menggunakan bahasa kebangsaan dalam ciapan mereka seperti apa yang dilakukan di negara lain.

Perkembangan itu sudah pastinya menceriakan lagi hari warganet tempatan yang sebelum ini mahukan perkara tersebut direalisasikan agar bahasa Melayu dapat diperkasakan di platform media sosial.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan dengan bahasa, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca