Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Travel Ke Korea Selatan

Sebut sahaja nama negara yang satu ini, pasti ramai individu mengetahui akan perihalnya – Kpop, Seoul, K-Drama. Ini semua kerana gelombang ‘Hallyu’ yang tersebar ke seluruh dunia, dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada penangan fenomena luar biasa ini.

Kumpulan Idola Korea Selatan, Sechskies  

 

Selain daripada itu, nama negara empat musim ini juga meniti di bibir para pelancong sebagai salah satu destinasi pelancongan yang harus dilawati. Penulis juga mempunyai impian untuk travel ke Korea Selatan satu hari nanti (Ini semua penangan Kpop dan K-Drama!)

Pulau Jeju (Foto: merdeka.com)

 

Seperti Malaysia dan negara-negara lain, masyarakat di Korea Selatan juga berpegang teguh kepada pantang-larang yang sudah diamalkan sejak zaman yang terdahulu, terutama sekali golongan ahjumma dan ahjussi. Jadi, sebelum anda menjejakkan kaki ke Korea Selatan, ini antara perkara-perkara basic yang anda perlu tahu tentang pantang-larang masyarakat di sana.

 

1. Elakkan memanggil orang lain dengan menggunakan isyarat tangan yang satu ini

Foto: Another Voice

“Kenapa tak boleh panggil orang lain macam ni?” Masyarakat di Korea Selatan menganggap isyarat tangan ini adalah tidak sopan. Alasan di sebalik kepercayaan ini adalah isyarat tangan tersebut digunakan untuk memanggil haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing. Jika satu hari nanti anda melawat Korea Selatan, pastikan anda tidak memanggil orang tempatan dengan menggunakan isyarat tangan yang satu ini. Sebaliknya, gunakan isyarat tangan yang di bawah ini kerana ia dianggap sopan.

Foto: Science of People

 

2. Jika menaiki bas, elakkan untuk duduk di tempat duduk di bahagian hadapan

Golongan warga emas dan ahli masyarakat yang sudah berusia dianggap sebagai golongan yang berada di ‘kelas tertinggi’. Walau apa pun, golongan ini harus diutamakan. Golongan ini juga bebas melakukan apa sahaja (seperti memotong barisan dan mengherdik orang lain). Walaupun ia kelihatan agak tidak adil, tetapi itulah hakikat yang harus diterima oleh masyarakat di sana. Oleh kerana itu, elakkan untuk duduk di tempat duduk di bahagian hadapan bas kerana tempat duduk ini dikhaskan untuk warga emas, orang kelainan upaya dan wanita mengandung. Untuk langkah selamat, duduk di tempat duduk di bahagian belakang. (Pstt… ada satu kisah, seorang datuk menendang muka seorang pemuda kerana pemuda tersebut duduk di tempat duduk khas. Anda boleh baca di sini.)

Foto: Wikimedia Commons

 

3. Jangan sesekali meninggalkan wang tip di restoran

Korea Selatan sangat berbeza dengan Amerika Syarikat yang sangat mementingkan pembayaran wang tip kepada pelayan ataupun bartender di restoran-restoran. Di Korea Selatan, pembayaran wang tip kepada para pekerja di restoran-restoran atau kedai-kedai makan dianggap sebagai satu simbol untuk sifat bongkak dan belas kasihan – walaupun anda tidak bermaksud begitu!

Foto: Kaisto

 

4. Jangan bermain dengan penyepit atau mencucuk makanan anda dengan penyepit

Jika anda berada di Korea Selatan, gunakan chopstick dengan sebaiknya. Tak pandai pakai chopstick? Jangan cucuk makanan anda dengan chopstick tersebut kerana kelakuan tersebut dianggap tidak sopan. Anda boleh meminta sudu dan garfu daripada pelayan restoran.

Foto: Asian Inspirations

 

5. Jangan sesekali berbincang/bertanyakan tentang perihal politik Korea Selatan atau Korea Utara, Komunism, dan Perang Korea dengan penduduk tempatan

Seperti biasalah, isu-isu sensitif seperti ini tidak perlu dibincangkan dengan lebih lanjut. Tambahan pula kita bukan warganegaranya.

 

 

Itu adalah di antara pantang-larang utama di Korea Selatan yang harus anda elakkan apabila anda berada di sana. Apabila anda pergi melancong ke mana-mana negara sekalipun, hormatilah budaya dan kepercayaan masyarakat di sana. Kita juga pasti mahu para pelancong menghormati budaya dan kepercayaan di Malaysia juga bukan?

Semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada anda sebelum anda menjejakkan kaki ke Korea! 맙습니다!

 

 

Glosari

Ahjumma – Wanita yang sudah berumur

Ahjussi – Lelaki yang sudah berumur

고맙습니다 – Terima kasih

 

 

 

Rujukan: Circles of Excellence dan Reach To Teach

Artikel Lain Untuk Di Baca