Perisik Yang Menyelamatkan Dunia, Ini Kisah Oleg Penkovsky

Soviet menganggap Oleg Penkovsky sebagai seorang pengkhianat manakala Barat menganggap Penkovsky sebagai seorang penyelamat.

Penkovsky menjadi seorang perisik

Diberikan kod nama HERO oleh CIA, Penkovsky ialah seorang kolonel yang bekerja di bawah Direktorat Perisikan Utama (GRU). Beliau juga merupakan pegawai Soviet yang mempunyai jawatan tertinggi dan menjadi perisik bagi United Kingdom dan Amerika Syarikat pada masa itu.

Semasa Penkovsky bekerja sebagai seorang tentera, Penkovsky berasa kecewa dengan rejim Soviet. Penkovsky menganggap bahawa Nikita Khrushchev akan memusnahkan Kesatuan Soviet dengan kesungguhan Khrushchev yang tidak berpenghujung dalam menyebarkan Komunisme ke seantero dunia.

Penkovsky mahu membantu untuk menghalang perang nuklear antara kuasa-kuasa besar berlaku. Disebabkan itu, Penkovsky menawarkan diri untuk menjadi perisik bagi United Kingdom dan Amerika Syarikat secara sukarela.

Penkovsky mewujudkan kenalan dengan seorang ahli perniagaan Inggeris, Greville Wynne pada April 1961. Penkovsky bertemu dengan dua pegawai perisikan Inggeris dan dua pegawai perisikan Amerika Syarikat beberapa hari kemudian untuk berkongsi maklumat tentang Kesatuan Soviet semasa beliau berada di London.

Penkovsky kerap ke Britain dan Perancis sebagai wakil delegasi penyelidikan saintifik Soviet dan bertemu dengan CIA dan pengendali MI-6 untuk sesi taklimat.

Penkovsky menggunakan kamera miniatur untuk menangkap gambar dokumen penting yang mengandungi rahsia Soviet dan menyerahkan gambar tersebut dalam bentuk kotak rokok atau kotak gula-gula kepada Janet, isteri kepada pegawai visa kedutaan Britain di parti koktel, taman dan beberapa lokasi sekitar Moscow.

Semasa Penkovsky bekerja sebagai seorang perisik untuk Amerika Syarikat dan Britain, Penkovsky telah memberi taklimat selama 140 jam, menghantar gulungan filem yang tidak terkira jumlahnya dan telah menghantar gambar dokumen-dokumen rahsia ke CIA dan MI-6.

Sesi taklimat Penkovsky telah menghasilkan transkrip yang mempunyai anggaran 1,200 muka surat, di mana CIA dan MI-6 melantik 30 orang penterjemah dan penganalisis untuk bekerja dengan dokumen itu. Maklumat yang diberikan oleh Penkovsky sangat bernilai untuk Amerika Syarikat pada masa itu.

Sumbangan Penkovsky dalam menghalang perang nuklear

Kesatuan Soviet telah melancarkan peluru berpandu nuklear ke Cuba pada musim panas tahun 1962. Kesatuan Soviet percaya bahawa Amerika Syarikat tidak akan dapat mengesan peluru berpandu yang telah dilancarkan oleh mereka dan pihak Amerika Syarikat akan terlambat dalam mengambil tindakan untuk menghentikannya.

Penkovsky pada masa yang sama telah menyediakan pelan yang terperinci dan penerangan tentang tapak pelancaran di Cuba. Tanpa maklumat yang berharga ini, Amerika Syarikat akan menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti peluru berpandu yang berada di tapak pelancaran dan arah tuju peluru berpandu itu.

Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, John F. Kennedy, telah menerima maklumat yang diberikan oleh Penkovsky. Maklumat tersebut telah membantu mereka untuk mendapatkan pemahaman penuh tentang peluru berpandu nuklear Soviet yang telah dilancarkan ke Cuba.

Kennedy menyedari bahawa beliau cuma ada masa selama tiga hari sahaja sebelum peluru berpandu Soviet berfungsi sepenuhnya. Beliau telah membuat rundingan dengan pihak Soviet bagi mencapai penyelesaian secara diplomatik. Atas sebab ini, Penkovsky diberikan kredit sebagai orang yang telah mengubah haluan Perang Dingin.

Bukan sahaja maklumat berkaitan tapak pelancaran peluru berpandu di Cuba, Penkovsky juga telah menyerahkan maklumat berkaitan rancangan Soviet untuk Berlin ke CIA dan MI-6. Penganalisis telah memanfaatkan maklumat yang diberikan oleh Penkovsky pada tahun 1980-an.

Penahanan dan perbicaraan

Ada pendapat yang menyatakan bahawa George Blake, seorang ejen dua muka Kesatuan Soviet telah memaklumkan Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) tentang perisikan Penkovsky untuk Amerika Syarikat dan Britain. Bertindak atas maklumat itu, KGB telah memerhati setiap gerak geri Penkovsky.

Walaupun begitu, sehingga kini, masih belum diketahui siapa ataupun apa yang telah menyebabkan Penkovsky ditangkap.

Pegawai-pegawai KGB telah ditugaskan di pangsapuri atas rumah Penkovsky dan di seberang sungai dari rumah Penkovsky. KGB telah menangkap Penkovsky atas tuduhan pengkhianatan dan perisikan setelah mengawasi pergerakan Penkovsky untuk satu tempoh yang lama.

Penkovsky dijatuhkan hukuman mati pada 16 Mei 1963 di Penjara Lubyanka yang terletak di Moscow. Abu mayat Penkovsky didakwa telah dibuang di tapak pengebumian beramai-ramai yang terletak di biara Donskoi yang terletak di Moscow.

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada kisah Oleg Penkovsky ini ialah tindakan seseorang itu boleh menjatuhkan ataupun membina seseorang. Dalam konteks ini, walaupun Barat dan kemungkinan besar seluruh dunia pada masa itu menganggap Penkovsky itu seorang wira, tetapi tindakan Penkovsky telah menggadaikan nyawanya sendiri kerana Kesatuan Soviet menganggap Penkovsky sebagai seorang pengkhianat.

Artikel Lain Untuk Di Baca