Perintah Berkurung Bukan Penyelesaian Kepada Omicron: WHO

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perlaksanaan perintah berkurung atau ‘total lockdown’ bukan satu penyelesaian yang bijak bagi menangani penularan varian baharu COVID-19, Omicron yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Dr Poonam Khetrapal Singh, Pengarah Serantau WHO berkata, perintah berkurung hanyalah sekadar salah satu daripada kaedah yang boleh dipertimbangkan bagi menangani penularan varian ini. Namun ia bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.

“Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana perlaksanaan lockdown sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai.

“Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan,” kata beliau.

Dr Poonam Khetrapal Singh, Pengarah Serantau WHO. Sumber: Astro Awani

Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan strain varian itu, Omicron tetap berisiko ‘sangat tinggi’ kepada seluruh dunia. Ia dilaporkan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali dan turut mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.

Strain COVID-19 varian Omicron yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan kini sudah mula merebak kepada 38 negara. Antaranya ialah, Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Belanda, United Kingdom, India dan Sri Lanka.

Walaupun telah tersebar luas, namun masih belum ada sebarang kematian yang disebabkan varian ini direkodkan.

Mengulas lanjut, Poonam menjangkakan bahawa dunia bakal menyaksikan lonjakan kes. Hal ini berikutan kadar transmisi COVID-19 yang melibatkan varian baharu ini adalah tinggi.

Perlaksanaan perintah berkurung sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai. *gambar hiasan

Namun demikian, beliau berkata, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin sedia ada pada ketika ini mampu memberi perlindungan dan mengelakkan kematian.

Mengulas tentang sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan kebanyakan negara, beliau berpendapat, perlaksanaan itu tidak akan mampu menghalang penularan merentasi negara. Sebaliknya, ia hanya akan menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian.

“Meskipun berkesan namun ia adalah langkah yang sangat mahal dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir,” jelas beliau lagi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca