Pergi Selepas Bertarung Lawan COVID-19, Siti Sarah Raissuddin Hembuskan Nafas Terakhir

Penyanyi ternama tanah air, Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas bertarung nyawa melawan jangkitan COVID-19.

Berita sedih tentang pemergian penyanyi Kesetiaan itu dikongsikan oleh suami beliau iaitu pelawak Shuib Sepahtu menerusi laman Instagram peribadinya.

“5.13 minit pagi, 9 Ogos 2021. Bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Siti Sarah binti Raissuddin,” tulis Shuib.

Sumber: Instagram Shuib Sepahtu

Pemergian penyanyi bersuara emas itu diratapi ramai peminat termasuk rakan artis seperti Fazura, Johan As’ari, Norman Hakim dan Shiha Zikir.

“Semoga roh Allahyarhamah Siti Sarah binti Raissuddin dimuliakan di sisi Allah SWT dan ditempatkan di Jannatul Firdaus. Salam takziah buat Shuib sekeluarga daripada kami sekeluarga.

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menjalani hari-hari yang akan datang. Insya-Allah. Amin. Al-Fatihah,” tulis Fazura.

Sarah mengesahkan beliau dan keluarga positif COVID-19 pada 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut. Selepas menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif.

Sumber: Instagram Shuib Sepahtu

Walau bagaimanapun, Sarah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot dan menyebabkan beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi Jumaat.

Pada petang Jumaat, Sarah yang hamil lapan bulan terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan selepas tahap oksigen dilaporkan berada dalam keadaan tidak stabil.

Team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Siti Sarah. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Siti Sarah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca