Aku ini binatang jalang

Dari kumpulan yang terbuang

– “Aku” 1943

Vokal. Radikal. Rebel. Itu antara gambaran ciri-ciri yang ada pada Chairil Anwar, seorang pemuisi legenda kelahiran Medan, Indonesia.

Lelaki ini memiliki sikap yang sulit untuk difahami oleh masyarakat umum pada ketika itu. Menjengkelkan tetapi dimaafkan.

Sejak usia 15 tahun, dia sudah memasang tekad untuk menjadi seorang seniman dan membuang dirinya daripada sekolah pada umur 18 tahun.

Namun dia masih mampu menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Belanda dan Jerman dengan baik.

Masanya banyak dihabiskan dengan membaca karya-karya besar pengarang ternama dunia seperti Rainer Maria Rilke, W.H. Auden, Archibald MacLeish, Hendrik Marsman, J. Slaurhoff, dan Edgar du Perron.

Era 1940-an

Dunia sasteranya bermula apabila Chairil berpindah ke Batavia (kini Jakarta) bersama ibunya.

Di situ, dia mula berkarya menulis puisi dan tema seperti pemberontakan, kematian, individualisme, eksistenalisme menjadi ‘makanan’ rohnya.

Meskipun Chairil tidak mahu tunduk kepada sesiapa termasuk pihak berkuasa, tidak akan berundur walau peluru menembusi kulit, dia tetap kalah dengan panahan cinta.

Sebagai seorang manusia biasa, lelaki ini juga tahu erti kesepian. Dia cuba mengusir pergi sepi hari-harinya dengan berlabuh dari satu perempuan ke perempuan lain.

Sikap ‘Aku-Peduli-Apa’, mulut manis dan kepintarannya dalam mengolah kata mampu memikat dan membuai perasaan gadis-gadis peminatnya.

Selain buku, cinta dan perempuan adalah dunianya walaupun dua hal itu pernah membuatkan hidupnya terhempas.

Tetapi dalam ramai-ramai wanita yang ditemuinya, ada 4 insan yang mendapat tempat istimewa dalam hidup penyair ini serta menjadi ilham dalam bait-bait puisi.

Ida Nasution

Gadis elit yang cantik, pandai dan berpendidikan Belanda ini mendapat perhatian Chairil kerana pemikirannya yang kritis dan mampu menyaingi intelektualisme lelaki itu ketika mereka berdebat.

Selain itu, Ida juga seorang penulis dan bercita-cita untuk menempa nama dalam dunia sastera. Chairil meminatinya dan merasakan gadis itu adalah pasangan ideal untuk dirinya.

Namun perasaan itu ditolak kerana Ida mengatakan yang lelaki itu memang ‘Binatang Jalang’ yang tidak mempunyai masa depan.

Walaupun tidak bersatu, Chairil tetap mendambakan Ida meskipun sedang berada dalam pelukan perempuan lain.

Hidup Ida berakhir dengan tragis apabila gadis itu hilang sewaktu dalam perjalanan Bogor-Jakarta pada tahun 1948.

Sri Ayati

Chairil jatuh cinta kepada Sri, seorang juruhebah radio yang terkenal dengan kecantikannya. Gadis itu tidak memilih kawan dan sering berbual dengan lelaki itu.

Namun Sri tidak pernah sedar yang Chairil memuja dan mencintainya dalam diam serta siap menukilkan sajak Senja di Pelabuhan Kecil buat dirinya sebab si penulis tidak pernah cakap apa-apa.

Beberapa tahun selepas kematian Chairil, baru dia tahu.

Sumirat

Seterusnya, Chairil melakar kisah asmara bersama Sumirat atau dipanggil Mirat. Gadis tersebut mula singgah di hati lelaki itu sewaktu mereka bertemu di Pantai Cilincing.

Mereka mula dating dan menonton filem berdua.

Mirat yang suka melukis sangat tertarik dengan kesungguhan Chairil yang membuat sajak di mana-mana. Kertas-kertas penuh dengan tulisannya. Lelaki memang nampak seksi semasa kerja keras. Gadis itu cuba menghayati hasil karya si pemuisi romantik itu.

Hubungan mereka mendapat restu daripada orang tua si gadis dengan syarat, Chairil harus mempunyai pekerjaan tetap.

Sumirat membalas cinta Chairil dengan kasih seluas samudera, namun sayang, cintanya karam juga. Gadis itu ditinggalkan tergantung sepi apabila Chairil pulang ke Jakarta, tidak kembali lagi ke sisinya.

Chairil mula murung dan memilih untuk mendera, menghumban jiwanya ke dalam lembah kesunyian. Pada fasa ini, dia mula merasakan “cinta adalah bahaya yang lekas jadi pudar.”

Cinta bukan sekadar perasaan dan kalimah tetapi juga perbuatan. Komitmen harus jauh mengatasi perasaan. Komitmen itu bukan saja dari segi material tetapi juga kesanggupan untuk hidup susah senang bersama seseorang dan terima baik buruknya.

Jatuh cinta itu memang asyik seperti mendengar muzik, namun tanggungjawab tetap membuatkan pasangan itu menari waltz bersama walaupun muzik telah terhenti.

Hapsah

Akhirnya Chairil Anwar memilih realiti dengan menikahi Hapsah, seorang wanita sederhana, berpendapatan tetap dan realis.

Chairil tidak memanggil isterinya “Sayang”, sebaliknya “Gajah” sebagai panggilan manja sebab Hapsah obesiti.

“Gajah, kalau umurku panjang, aku akan jadi menteri pendidikan dan kebudayaan.” kata Chairil namun cita-cita itu tidak kesampaian sebaliknya Hapsah yang bekerja di Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan sampai pencen.

Hapsah sebenarnya bukanlah type atau wanita idaman Chairil dan dunia mereka berbeza. Konflik hubungan timbul kerana tiada persefahaman.

Hapsah tidak mengerti jiwa seni dan gaya hidup bohemian yang suaminya anuti manakala Chairil pula tidak faham apa yang seorang isteri mahukan daripada dia serta tidak boleh pergi dengan pandangan Hapsah yang birokratik.

Sebelum berpisah, mereka sempat dikurniakan seorang anak perempuan bernama Evawani.

Hujung Usia

Setelah berkelana ke sana-ke mari, akhirnya Chairil menemui keselesaan di rumah.

Pelbagai penyakit mula menyerang lelaki itu, dari paru-paru hingga ke usus.

Tempoh hidupnya sudah hampir ke penghujung. Dalam keadaan suhu badan yang tinggi dengan penuh keinsafan, dia menyeru “Tuhanku, Tuhanku…”

Penyair ini pulang ke pangkuan Tuhan, cinta sejatinya dalam usia yang masih muda iaitu sekitar umur 26 tahun. Meskipun riwayat hidupnya singkat, karya-karya dia masih abadi sehingga kini.

Namanya tetap hidup hingga seribu tahun lagi.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda