Perdaya Wanita Jutaan Ringgit Demi Ingin Hidup Mewah, Ini Kisah Simon Leviev

Netflix telah menghasilkan satu siri dokumentari baru-baru ini tentang seorang lelaki bernama Simon Leviev yang digelar sebagai The Tinder Swindler kerana dia telah menipu ramai wanita sehingga $10 juta (RM41,895,000) menerusi aplikasi tersebut.

Simon atau nama sebenarnya Shimon Yehuda Hayut mendakwa dirinya memiliki kekayaan yang dahsyat dan merupakan anak lelaki taikun berlian Israel iaitu Lev Leviev.

Siapa sebenarnya Simon Leviev iaitu bintang utama filem dokumentari The Tinder Swindler?

Simon Leviev

Sumber: The Star

Simon telah meninggalkan negara asalnya iaitu Israel pada tahun 2011 kerana tidak mahu menghadiri perbicaraan mahkamah atas beberapa jenayah berkaitan penipuan yang dilakukan oleh lelaki tersebut dan kemudiannya berpindah ke Finland.

Shimon menukar namanya secara sah kepada Simon Leviev pada tahun 2011 walaupun dia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan keluarga taikun berlian Leviev.

Pada tahun 2015, Simon telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun kerana telah menipu tiga orang wanita. Dia bertemu Cecilie Fjellhoy selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2017.

Modus operandi Simon

Pernilla Sjoholm. Sumber: Esquire

The Tinder Swindler mengisahkan tiga orang wanita iaitu Cecilie, Pernilla Sjoholm dan Ayleen Charlotte yang mempunyai pengalaman hampir serupa dengan Simon.

Mereka berkenalan menerusi Tinder, bertemu dan menjalani hubungan jarak jauh bersama lelaki tersebut. Berbeza dengan Cecilie dan Ayleen yang bercinta dengan Simon, Pernilla hanya berkawan baik bersama lelaki itu.

Ketiga-tiga wanita itu melihat gaya hidup mewah Simon seperti memiliki jet peribadi, kereta sport, baju berjenama, hotel mahal dan sering mempunyai urusan perniagaan.

Simon juga sering memberi hadiah dan mencurahkan kasih sayang kepada wanita-wanita itu dan sanggup terbang semata-mata untuk minum kopi atau makan malam bersama pasangannya.

Apabila mereka semakin rapat, Simon mula membuka cerita tentang perniagaan berliannya yang berbahaya dan musuh-musuhnya yang didakwa mahu menghancurkan dirinya.

Simon kemudiannya ‘menjerat’ wanita itu dengan berkata dia sering dalam keadaan bahaya dan mendakwa telah diserang musuh. Lelaki itu akan menghantar gambar pengawal peribadinya cedera parah akibat diserang dan kini berada di dalam ambulans kepada mangsanya.

Semua mangsa Simon diberitahu bahawa lelaki itu telah ditemui oleh ‘musuh-musuhnya’ dan dia telah block kad kreditnya untuk menyelamatkan dirinya daripada serangan musuh.

Simon kemudiannya akan meminta wanita-wanita itu membuat kad kredit baharu dan pinjaman peribadi di atas nama mereka supaya dia tidak dapat dikesan serta menempah beberapa tiket penerbangan.

Wanita-wanita itu menuruti arahan Simon dengan harapan lelaki berkenaan akan mengembalikan wang tersebut kepada mereka tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Cecilie Fjellhoy

Memetik laporan The National News, Cecilie yang berasal dari Norway merupakan salah satu mangsa Simon yang mengalami kerugian teruk.

Cecilie berkenalan dengan Simon ketika bermain Tinder dan pertama kali bertemu di sebuah hotel lima bintang di London, United Kingdom untuk minum kopi bersama.

Walau bagaimanapun, Simon mendakwa dia perlu terbang ke Bulgaria untuk urusan kerja menaiki jet peribadi dan turut mempelawa Cecilie untuk pergi bersama-sama.

Cecilie pun ikut Simon ke Bulgaria dan terus jatuh cinta dengan lelaki tersebut. Simon dan Cecilie kemudiannya menjalani hubungan cinta jarak jauh dan apa yang berlaku seterusnya menyebabkan wanita itu kecewa dan dibelenggu hutang melebihi $200,000 (RM837,900).

Ayleen Charlotte

Sumber: The Sun

Semua perbuatan Simon akhirnya terkantoi selepas Pernilla dan Cecilie bergabung untuk menjatuhkan lelaki itu dengan mengeluarkan kisahnya ke media.

Simon yang sedang ‘bercinta’ dengan Ayleen selama 14 bulan pada ketika itu berada dalam keadaan panik. Dia ingin melakukan perkara sama kepada Ayleen tetapi wanita itu lebih bijak.

Memetik laporan The Sun, Ayleen menjual pakaian mewah Simon di eBay dan mengambil hasilnya. Atas bantuan Ayleen, Simon ditahan di Greece pada tahun 2019 kerana menggunakan pasport palsu.

Simon dihantar semula ke Israel dan telah dipenjarakan selama lima bulan sebelum dibebaskan kerana berkelakuan baik.

Dokumentari itu turut mendakwa Simon akan menggunakan wang daripada mangsa terdahulu untuk berseronok bersama wanita lain.

Apa yang lebih menyedihkan adalah Simon dikatakan sudah memiliki kekasih baharu dan kembali hidup kaya raya seperti dahulu walaupun telah disekat daripada menggunakan Tinder tetapi Cecilie, Pernilla dan Ayleen masih lagi membayar beban hutang yang ditinggalkan lelaki itu kepada mereka.

Anda boleh tonton trailer The Tinder Swindler di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca