Perdana Menteri Thailand Didenda Kerana Tidak Memakai Pelitup Muka

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha telah disaman kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam ketika menghadiri sebuah mesyuarat untuk membincangkan keadaan COVID-19 di Thailand pada 26 April yang lalu.

Dalam sebuah hantaran di Facebook, beliau mengatakan bahawa pihak kerajaan sedang berusaha keras dalam mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 dan telah memuatnaik sebuah gambar mesyuarat tersebut.

Gambar itu menunjukkan dirinya di sebuah meja mesyuarat yang dikelilingi oleh para penasihat. Kesemua dari mereka memakai pelitup muka kecuali Perdana Menteri tersebut.

Pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam adalah diwajibkan di negara tersebut.

Seorang gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang telah mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memakai pelitup muka atau denda sebanyak 20,000 baht, iaitu sekitar RM2600, akan dikenakan.

Setelah mendapat kritikan orang ramai, Aswin telah memaklumkan dalam sebuah hantaran Facebooknya, Prayut telah dikenakan denda sebanyak 6,000 baht (sekitar RM780) kerana telah gagal mematuhi peraturan.

“Selesai mesyuarat tersebut, Perdana Menteri telah meminta saya selaku seorang gabenor Bangkok, untuk menyiasat sekiranya perkara itu adalah salah di sisi undang-undang. Saya telah menjelaskan kepada beliau bahawa kelakuannya itu telah melanggar peraturan yang telah diumumkan oleh pihak Pentadbiran Metropolitan Bangkok yang telah mengarahkan orang ramai untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat terbuka,” kata Aswin.

Perdana Menteri Thailand itu akhirnya bersetuju untuk dikenakan denda.

Hantaran Facebook Prayut tersebut juga telah dipadam dan dimuatnaik semula tanpa gambarnya yang menunjukkan dirinya yang tak berpelitup muka.

Insiden ini berlaku ketika Thailand sedang diserang gelombang COVID-19 yang telah menjangkiti lebih 28,000 orang dan membunuh seramai 54 orang sejak permulaan April ini.

Penularan gelombang terbaru ini bermula dari kelab-kelab malam, parti serta konsert sejak awal bulan ini.

Susulan itu, pihak kerajaan Thailand telah memutuskan untuk menutup kelab-kelab malam, pub, bar di seluruh negara buat sementara waktu serta melakukan beberapa tindakan untuk mengawal penularan tersebut.

Di zon-zon merah seperti Bangkok, pelbagai langkah telah dikuatkuasakan, termasuklah larangan melakukan sesetengah aktiviti serta penutupan beberapa lokasi untuk mengawal pergerakan orang ramai bagi menurunkan risiko jangkitan.

Manakala bagi di seluruh negara tersebut, lokasi seperti pub, bar, kedai tukang urut juga telah diarahkan untuk tutup buat sementara waktu, sekurang-kurangnya 14 hari. Sekolah dan universiti juga turut ditutup.

Pada hari Isnin lalu, Prayut menyebut dalam hantaran Facebooknya itu bahawa Thailand telah menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 300,000 dos sehari agar 50 juta orang dapat divaksinkan dalam rangka masa tahun ini.

Negara tersebut dilaporkan telah mencapai 2,048 kes baru COVID-19 pada Isnin lalu yang membawa jumlah sebanyak 57,508 kes kesemuanya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca