Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada jam 8 malam tadi menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan selama dua minggu sehingga 31 Mac ini. Menurut Perdana Menteri lagi, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya rantaian jangkitan COVID-19 tidak dapat diputuskan.

“Kita mahu supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan supaya jumlah orang dijangkiti COVID-19 dikurangkan. COVID-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu. Selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas COVID-19. Jika tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu adalah penting untuk kita asingkan diri dan keluarga dari terdedah, dengan berada di rumah,” kata Perdana Menteri dalam perutusan khas tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri turut meminta supaya kenduri majlis perkahwinan dibatalkan kerana ia turut termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan. Perdana Menteri juga meminta rakyat supaya jangan menggunakan tempoh dua minggu ini untuk bersuka ria termasuklah dengan melepak di kedai makan. Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa rakyat masih boleh keluar ke pasar untuk mendapatkan keperluan harian dan ke kedai makan.
“Insya-Allah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini,” kata Perdana Menteri sebelum mengakhiri perutusan khasnya.

Sementara itu di Twitter, frasa Just Stay At Home yang diungkapkan oleh Perdana Menteri semasa perutusan khas tadi telah menjadi trending nombor satu di Malaysia.
Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah: