Percutian Bertukar Tragedi, Kanak-Kanak Maut Jatuh Di Sebuah Hotel Di Pulau Pinang

Seorang kanak-kanak berumur enam tahun ditemui meninggal dunia setelah dipercayai terjatuh di sebuah hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku setelah mangsa bernama Siti Airis Hafeeya Faizal, 6, baru sahaja selesai mandi di kolam renang hotel itu bersama keluarganya sekitar jam 11:30 pagi, Isnin.

Ibu mangsa yang berusia 44 tahun menceritakan bahawa mereka sedang dalam perjalanan untuk pulang ke bilik.

Mengulas dengan lebih lanjut, ibu mangsa berkata anaknya itu tiba-tiba berlari masuk ke dalam lif apabila melihat orang awam keluar dari lif itu.

Namun demikian, tiada seorang daripada mereka yang sempat untuk naik lif itu bersamanya dan pintu lif itu juga tutup dengan cepat.

Ketika mencari kanak-kanak itu, mereka dikejutkan dengan penemuan mayat anaknya di tingkat dua hotel berkenaan.

Menurut ibu mangsa, mereka sekeluarga menginap di hotel tersebut atas tujuan bercuti sebelum menghantar anak sulungnya ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau.

Ibu mangsa yang baru sahaja kehilangan ibunya kini reda dengan pemergian anak perempuannya itu.

Dia turut menceritakan, pada hari ibunya meninggal dunia, dia meminta anaknya mencium neneknya lalu Siti Airis Hafeeya berkata bahawa dia boleh berjumpa dengan neneknya di syurga.

Kini, dia mula mengerti apa yang anaknya maksudkan pada waktu itu.

Sebagai rekod, mayat mangsa telahpun dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Asisten Komisioner Soffian Santong iaitu Ketua Polis Daerah Timur Laut mengesahkan kejadian berkenaan.

Lapornya, pihak polis telah menerima maklumat mengenai insiden jam 12:20 tengah hari dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca