Percubaan Bunuh Diri Dengan Terjun Dari Jambatan, Baca Bagaimana Jambatan Mapo Di Sungai Han Ini Mengatasinya

Sungai Han yang terletak di Korea Selatan adalah sungai utama yang bermula dengan dua sungai kecil di kawasan pergunungan timur Semenanjung Korea, yang kemudiannya bertumpu berhampiran Seoul, ibukota negara itu.

Dengan panjang sejauh 494km, terdapat 27 jambatan yang merentasi Sungai Han. Salah satu daripadanya adalah Jambatan Mapo yang menghubungkan daerah Mapo dan Yeongdeungpo di bandaraya Seoul. Siap dibina pada tahun 1970, Jambatan Mapo turut dikenali sebagai Jambatan Seoul sejak tahun 1984.

Jambatan Mapo yang merentasi Sungai Han

Menurut Straits Times, pada tahun 2012 direkodkan sebanyak 196 percubaan bunuh diri dari jambatan-jambatan di Sungai Han yang mana 90% daripadanya dilakukan di Jambatan Mapo.

Korea Selatan nyata tidak berdiam diri dengan situasi tersebut dan dengan kerjasama bersama syarikat swasta, mereka menjalankan beberapa inisiatif bagi menangani masalah tersebut. Berikut adalah antaranya:

1. Menggabungkan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang telah diprogramkan untuk mengesan pergerakan yang berkemungkinan ada individu cuba untuk melompat dari jambatan.

Pengesanan kemungkinan bunuh diri itu akan mengaktifkan penggera automatik yang akan memberi isyarat kepada perkhidmatan kecemasan dan kaunselor untuk segera dihantar ke lokasi dalam masa sepantas tiga minit.

2. Jambatan itu juga dilengkapi dengan sensor pergerakan yang akan menyala dengan ungkapan pendek apabila disentuh.

Ia ditulis dengan bantuan pakar pencegahan bunuh diri dan ahli psikologi. Antara lain ia turut memaparkan imej-imej yang bertemakan kasih sayang dan keluarga bahagia.

3. Papan tanda dan mesej-mesej bertulis

Pemasangan signage di sepanjang Jambatan Mapo telah dibuat dengan mesej-mesej positif termasuklah:

“Momen Terbaik Dalam Hidupmu Belum Lagi Tiba.”

“Tiada Apa-Apa Dengan Kebimbangan.”

“Kembalilah Lagi Untuk Menikmati Udara Segar.”

“Saat-Saat Sukar Akhirnya Nanti Akan Turut Mengalir Pergi Seperti Sungai Di Bawahmu.”

Mesej-mesej di Jambatan Mapo ini dipilih oleh ahli psikiatri dan ia bertujuan untuk mengurangkan tekanan dan membuat orang bersantai dengan humor.

Frasa ini membawa maksud “Bayu Di Sini Sungguh Menenangkan.”

4. Tugu kecil atau patung

Di tengah-tengah jambatan ini diletakkan patung seorang lelaki tua yang cuba menghiburkan seorang anak muda yang kelihatan murung, dengan mencubit pipinya dan meletakkan tangannya pada bahu anak muda tersebut.

5. Pondok telefon

Pondok telefon yang menawarkan bantuan kecemasan kepada individu yang mempunyai pemikiran dan kecenderungan untuk membunuh diri juga turut disediakan.

Di Malaysia terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menawarkan perkhidmatan seperti ini. Antaranya adalah Befrienders yang menawarkan khidmat hotline 24 jam kepada sesiapa yang memerlukan teman untuk bercakap dan meluahkan perasaan. Di kala menghadapi tekanan perasaan yang teruk, tiada sesiapa yang dapat memahami diri atau malu untuk meluahkan kepada keluarga atau kenalan tentang masalah diri, mungkin cara yang terbaik adalah untuk bercakap dengan orang luar ataupun stranger.

Carian kami di Facebook mendapati terdapat tiga FB Page Befrienders mewakili Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Mungkin kerajaan atau pihak-pihak berkenaan boleh berkerjasama dengan NGO seperti Befrienders ini untuk mencari inisiatif bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan daripada segi mental dan emosi termasuklah mereka yang cuba untuk membunuh diri dengan terjun daripada jambatan ini.

Menurut Park Young-Ki iaitu pengerusi Kesatuan Pencegahan Bunuh Diri Korea (Korea Suicide Prevention Union), orang yang mempertimbangkan atau berfikir untuk cuba bunuh diri adalah mereka yang sangat gelisah.

“Mereka yang cuba bunuh diri memerlukan seseorang untuk menghentikannya.”

‘Menghentikannya’ dalam konteks ini bolehlah kita baca sebagai membantu dan menyokong individu tersebut secara emosi, mental dan lain-lain seperti yang tersenarai di atas.

Sumber: Wikipedia, Twitter, Straits Times, Huffington, Brand Channel
Foto: Flickr

Artikel Lain Untuk Di Baca