Percaya Lipas Mampu Mengubati Pelbagai Penyakit, Lelaki Ini Miliki Ladang Lipas Sebesar Gelanggang Badminton

Ramai yang menganggap bahawa lipas merupakan serangga paling jijik. Boleh dikatakan majoriti penduduk di dunia ini geli untuk mendekati apatah lagi menyentuhnya. Namun begitu, berbeza pula bagi penduduk China apabila lipas menjadi komoditi dagangan menguntungkan buat mereka.

Aktiviti membiak lipas dilakukan dengan skala besar di negara tersebut dan ia dianggap sebagai satu cabang perniagaan kerana serangga ini mendapat permintaan tinggi sama ada untuk tujuan perubatan atau makanan.

Sebuah ladang pembiakan lipas sebesar gelanggang badminton di barat daya China diusahakan oleh seorang petani iaitu Li Bingcai. Sebahagian besar daripada lipas di ladang itu dibekalkan untuk tujuan makanan.

Beliau yang sebelum ini pernah membuka sebuah kedai telefon bimbit membuat keputusan untuk menceburi bidang itu pada tahun 2016 kerana ia tidak memerlukan modal besar dan juga senang untuk diuruskan.

“Orang tidak percaya betapa sedapnya rasa lipas sehingga mereka mencubanya,” kata Li sambil memasukkan seekor lipas hidup ke dalam mulut.

Lipas jenis Periplaneta merupakan spesies terbesar serangga itu dipercayai boleh mengubati penyakit seperti ulser perut, masalah pernafasan malah turut dijadikan sebagai ubat tonik.

“Kesan terbaik makan lipas ialah serangga ini mempunyai tahap imuniti tinggi. Jadi, manusia akan menyerap segala kebaikan ini dengan memakannya,” kata Li.

Menurut beliau, lipas China digelar sebagai ‘Little Strong’ (si kecil kuat). Ia digelar sedemikian kerana walaupun badannya sudah dikerat separuh, ia masih boleh hidup dalam tempoh beberapa hari.

Ladang pembiakan lipas milik Li itu terletak di kawasan pergunungan yang dilitupi dengan tanaman buluh. Kawasan tersebut dibina dengan teliti sekali di mana di bahagian tingkapnya ditutupi kain jaring bagi mengelakkan serangga tersebut ‘melarikan’ diri. Ia juga dibela dalam rak kayu dengan keadaan suhu yang hangat serta lembap.

Ia perlu dikendalikan dengan berhati-hati kerana pada 2013, terdapat satu insiden di mana kira-kira 1 juta lipas terlepas dari ladang di timur wilayah Jiangsu.

Sama seperti haiwan ternakan yang lain, lipas juga mempunyai makanan khas di mana Li memberi campuran jagung kisar serta kulit buah dan sayuran kepada serangga berkenaan.

“Kami membiaknya dalam suasana bersih selain tidak menggunakan bahan campuran tiruan dalam makanannya,” katanya.

Li akan mengutip hasil dan mengawal populasi serangga berkenaan dengan mencelurnya ke dalam air panas sebelum mengeringkan rangka lipas itu. Proses ini akan dilakukan setiap 3 bulan.

Mengikut harga pasaran, setengah kilo lipas kering dijual pada harga antara 100 hingga 600 yuan (RM61 hingga RM369).

Sepanjang tahun lalu, Li berjaya menjual 1 tan lipas kering kepada kilang farmasi dengan harga mencecah hampir 90,000 yuan (RM55,792).

Perniagaan ini merupakan satu-satunya punca pendapatan Li yang membantunya untuk menyara kehidupan bersama keluarga.

Sementara itu, sebuah syarikat farmasi iaitu Gooddoctor Pharmaceutical Group di Xichang mengendalikan ladang lipas terbesar di mana terdapat lebih kurang 6 juta ekor serangga itu di dalam kemudahan khas dan dilengkapi dengan peralatan canggih serta moden.

Menurut Ketua pakar di Pusat Perubatan Yonshou Bandar Yinchuan, Liu Daoyuan, serangga itu bersifat diuretik dan mempunyai ciri-ciri detoksifikasi.

“Ia juga sangat efektif untuk mengurangkan sakit tekak serta tonsil,” katanya.

Namun begitu, menurut pakar perubatan Cina, sekiranya industri berkenaan tidak dikawal selia dengan baik, ia boleh memberi kesan negatif.

“Apa saja bahan yang diambil secara berlebihan termasuk ginseng boleh memberi kesan bahaya,” kata pengarah Klinik Perubatan Cina di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Goh Chye Tee.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca