Percaya Dua Peluru Berpandu Tembak Pesawat, Iran Sudah Buat Penahanan Pertama

Sebanyak dua peluru berpandu dipercayai telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat Ukraine International Airlines PS752 yang mengorbankan kesemua 176 penumpang dan anak kapal.

Memetik laporan The New York Times, kenyataan itu adalah berdasarkan rakaman kamera keselamatan yang disahkan dan menunjukkan kejadian berkenaan.

Transponder pesawat PS752 terbabit sudah gagal berfungsi selepas terkena bedilan peluru pertama. Tidak lama selepas itu, misil kedua pula mengenai kapal terbang berkenaan.

Menerusi rakaman video berkenaan juga, kapal terbang komersial itu dilihat seperti berpatah balik ke arah lapangan terbang dalam keadaan terbakar sebelum terhempas dan meletup.

Video berkenaan didakwa dirakam di atas bumbung sebuah bangunan di Bidkaneh yakni sebuah perkampungan yang terletak berhampiran dengan kawasan ketenteraan Iran.

Terdahulu, Iran menafikan mereka mempunyai kaitan dengan insiden hempasan pesawat berkenaan.

Walau bagaimanapun, pihak negara itu akhirnya mengakui kesilapan bahawa mereka telah menembak pesawat itu selepas ia terbang berdekatan dengan tapak ketenteraan milik Pengawal Revolusi Iran.

Menerusi kenyataannya, tentera Iran mengaku telah menembak kapal terbang berkenaan dengan tidak sengaja dan perkara terbabit dikatakan berlaku atas faktor kesilapan manusia.

Susulan insiden berkenaan, orang awam kini menyertai demonstrasi membantah tindakan pihak berkuasa Iran.

Sementara itu, dalam satu sidang berita di televisyen, Jurucakap Gholamhossein Esmaili berkata, badan kehakiman sudah memaklumkan mengenai penahanan pertama berhubung kes hempasan kapal terbang PS752.

“Siasatan menyeluruh sudah dilakukan dan beberapa orang sudah ditahan,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani berucap bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu perlu dihukum.

“Perkara paling utama adalah mereka yang didapati bersalah atau cuai perlu berdepan keadilan. Sesiapa yang perlu dihukum, mesti dihukum. Satu dunia akan melihat pengadilan ini,” ujarnya.

“Ia tidak mungkin membabitkan seorang sahaja yang melepaskan tembakan. Pasti ada orang lain, dan saya mahu perkara ini dijelaskan secara terperinci.”

Minggu lalu, pesawat Ukraine International Airlines berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini pada 8 Januari lalu sebelum terhempas tidak lama kemudian berhampiran kawasan Parand iaitu sebuah bandar di wilayah Robat Karim.

Kesemua 167 penumpang dan sembilan anak kapal pesawat yang terdiri daripada warga Iran, Kanada, Ukraine, Sweeden, Afghanistan, Jerman dan United Kingdom maut di tempat kejadian.

Untuk membaca artikel lain berkaitan isu hempasan kapal terbang Ukraine International Airlines PS752, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca