BUKIT MERTAJAM: Setelah dua hari berehat melepaskan lelah, sebuah keluarga lima beranak yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini telah meneruskan kembara berbasikal ke tanah suci untuk mengerjakan umrah.
Muchlis Abdullah, 47, berkata beliau dan keluarganya bakal menyusuri 8 hingga 10 negara untuk sampai ke Jeddah dalam tempoh 6 hingga 7 bulan sahaja. Kembara yang dinamakan “Ziarah Qudsiyah Tanah Suci 2018” ini bermula pada 11 Julai 2018 yang lalu dan dijangka tiba pada Januari atau Mac tahun ini.
Keluarga itu tiba di Malaysia pada 30 Julai yang lalu dengan memasuki Melaka menggunakan perkhidmatan feri sebelum menyambung perjalanan mereka ke utara tanah air iaitu melalui Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Di Pulau Pinang, Muchlis dan keluarganya telah menginap di sebuah hotel di Permatang Pauh selama dua hari atas sumbangan dan bantuan penduduk setempat. Seterusnya, keluarga itu meneruskan pula perjalanan mereka pada pukul 8.47 pagi selepas bacaan doa dan upacara pelepasan oleh Encik Wahab Yahaya iaitu Imam Masjid Papan. Destinasi persinggahan rehat seterusnya ialah di Gurun, Kedah.
Selepas Malaysia, antara negara yang bakal dilalui keluarga itu ialah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akhir sekali Arab Saudi.
Menurut beliau, persiapan fizikal dan mental dalam kembara itu dilakukan sejak dua tahun yang lepas. Berkemungkinan, mereka akan menggunakan kenderaan awam sebagai satu altenatif lain sekiranya terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan terutamanya ke destinasi yang mengalami masalah.
Penulis berharap agar keluarga ini selamat sampai ke destinasi dan ia akan menjadi satu inspirasi untuk semua warganet supaya boleh mencuba bagi merasai keterujaannya.
Jika ingin mendapatkan info-info terkini, bolehlah ikuti di Telegram Lejen Press.
Sumber: mStar