Peraturan Baharu Cermin Gelap Yang Lebih Telus Bakal Diumum Mei Ini

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, peraturan baharu mengenai cermin gelap akan diumumkan awal bulan depan.

Dasar baharu yang hampir muktamad itu akan menekankan isu ketelusan daripada segi proses permohonan selain meningkatkan hasil kerajaan.

“Sejak Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah membekukan kelulusan permohonan baharu penggunaan cermin gelap kerana terdapat ketirisan dan kelemahan pada dasar yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, garis panduan mengenai cermin gelap pada kenderaan telah diubah beberapa kali semasa di bawah pentadbiran kerajaan lama.

Ketika ini, peraturan sedia ada yang diguna pakai adalah di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) iaitu 70 peratus bagi cermin depan, 50 peratus bagi cermin sisi pemandu serta 30 peratus bagi cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang.

Bercakap tentang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini dikenali sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Kamarudin berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan sistem berkenaan kerana penguatkuasaanya penting bagi mengawal kemalangan jalan raya di negara ini.

“Analisis oleh pihak MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) menggunakan data kemalangan daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia menunjukkan terdapat pengurangan 25 peratus kes kemalangan di lokasi kamera had laju AWAS di lebuh raya pada 2018 berbanding tahun 2017,” katanya.

Pada masa yang sama, kajian itu juga menunjukkan impak pelaksanaan AWAS di 6 lokasi rintis di mana purata kadar kepatuhan bagi had laju adalah lebih tinggi iaitu 95 peratus berbanding sebelumnya iaitu 63 peratus.

Kadar pematuhan lampu isyarat di 4 lokasi rintis yang dipasang kamera AWAS juga meningkat daripada 96 peratus kepada 98 peratus.

“Peningkatan ketara dalam pematuhan had laju dan lampu isyarat menunjukkan bahawa AWAS mampu melahirkan pengguna berhemah yang patuh kepada peraturan jalan raya,” tambahnya lagi.

Artikel Lain Untuk Di Baca