Perasaan Gemuruh Dan Teruja Adalah Emosi Yang Sama?

Perasaan gementar merupakan suatu perkara yang sering dialami oleh setiap orang.

Terutamanya apabila kita hendak menghadapi peperiksaan atau sedang melakukan pembentangan di hadapan ramai orang, kita pasti akan berasa gemuruh.

Meskipun begitu, tahukah anda bahawa perasaan gemuruh dan teruja merupakan emosi yang sama?

Apabila kita gemuruh, badan kita akan mula berpeluh, aturan nafas akan menjadi kencang, tidak dapat berkonsentrasi dengan baik serta degupan jantung kita juga akan meningkat.

Hal ini sama seperti apa yang kita rasakan ketika kita sedang teruja dan gembira.

Menurut Tim JP Collins, seorang hos bagi The Anxiety Podcast, tubuh badan kita sebenarnya tidak dapat membezakan perasaan gemuruh dan teruja kerana kedua-dua emosi ini menghasilkan tindakan neurologi yang sama.

Hanya satu perkara yang dapat membezakan perasaan gemuruh dan teruja ini iaitu cara kita menginterpretasi emosi ini.

Jika kita menganggap emosi itu sebagai sesuatu yang positif, maka kita akan menjadi teruja dan jika kita menginterpretasi emosi itu secara negatif, maka kita akan berasa gemuruh.

Hal ini kerana ketika kita sedang gementar, badan kita akan berasa terancam dan menghantar isyarat untuk lawan atau lari, atau lebih dikenali sebagai fight-or-flight response, kepada otak kita.

Namun, kebolehan diri kita untuk mengenalpasti situasi tersebutlah yang akan membantu kita untuk membezakan kedua-dua perasaan gemuruh dan teruja tersebut.

Oleh itu, cara kita berfikir amat penting dalam mempengaruhi emosi yang bakal kita rasakan.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak boleh disamakan dengan ketakutan yang kita rasakan ketika berhadapan dengan saat-saat yang membahayakan dan mengancam nyawa.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca