Perasaan Anak Bongsu Yang Ramai Tak Tahu

Korang pasti selalu dengar anak bongsu ini manja, tak pandai jaga diri, bila beri pendapat selalu diabaikan, jarang kena marah dan selalu dianggap ‘budak kecil’.

Siapa cakap jadi anak bongsu ni seronok? Anak bongsulah paling banyak dikongkong oleh ibu bapa dan sukar untuk membuat keputusan sendiri serta dikatakan tidak banyak pengorbanan yang dilakukan untuk keluarga. Tapi sebenarnya, anak bongsu inilah yang paling banyak berkorban untuk kakak dan abangnya.

Kami kongsikan situasi yang sering dihadapi oleh anak bongsu.

1. Menjadi ‘Bibik’ Kepada Abang Dan Kakak

“Adik tolong basuh kan baju abang,” “Adik tolong ambil kan air dalam peti ais,” “Adik pergi beli kan ais krim” dan macam-macam lagi. Kami pasti korang pernah lalui situasi ini kan? Anak bongsu sering menjadi budak surahan atau bibik kepada abang dan kakak mereka. Mereka sering memberi alasan, “kau kan adik, adik kena dengar cakap dan hormat orang yang lebih tua.” Jadi nak tak nak si bongsu harus mendengar cakap mereka.

Bukan si bongsu tak nak menolong, tetapi ada kalanya mereka juga ingin berehat selepas melakukan pekerjaan lain.

2. Selalu Dianggap Budak Kecik

Ibu bapa sering menganggap si bongsu masih kecil dan tidak mampu membuat keputusan sendiri. Hal ini menyebabkan si bongsu sukar meyakinkan orang lain tentang idea atau pandangan mereka. Terutamanya apabila bertukar pendapat dengan abang dan kakaknya.

Bila si bongsu nak belajar berdikari, selalunya akan dibantah oleh ibu bapa dan pasti korang selalu dengar ayat ni kan? “Buat apa nak duduk luar? Membazir tau. Duduk jelah dekat rumah ni, lagipun boleh tolong tengok-tengok kan mak dan ayah,” kata mereka. Jadi disebabkan inilah si bongsu sering dianggap ‘budak kecik’.

Sebenarnya, anak bongsu ingin sekali meneroka dunia luar dan mencuba perkara baru tanpa ada halangan daripada sesiapa. Tetapi mereka tidak dapat melakukan itu semua kerana ibu bapa tidak memberi kepercayaan kepada mereka.

3. Selalu Dipinggirkan

Korang pasti selalu mendengar abang dan kakak korang cakap macam ni kan, “adik, kau pergilah main jauh-jauh, jangan kacau abang,” “adik jangan usik barang akak, nanti rosak. Dah jangan ganggu akak.” Sebenarnya, si bongsu bukan ingin menganggu abang dan kakaknya tetapi dia ingin mendapatkan perhatian mereka.

4. Sering ‘Warisi’ Barang Abang Dan Kakak

Bukanlah nak berkira sangat, tapi si bongsu selalu diwariskan barangan milik abang dan kakaknya walaupun si bongsu tidak menyukainya. Benda yang sering diwarisi oleh si bongsu adalah pakaian. Ketika kecil mungkin ramai yang tidak peduli tentang itu.

Tetapi, bila si bongsu sudah dewasa, mereka mempunyai cita rasa masing-masing dan tidak mahu memakai pakaian abang dan kakaknya lagi kerana itu bukan hak dan identiti mereka.

5. Dibanding-bandingkan Dengan Abang Dan Kakak

Bukan senang untuk meneruskan reputasi abang dan kakak yang cemerlang dalam pelajaran serta mempunyai kerja yang bagus. Jika si bongsu tidak mendapat keputusan cemerlang pasti akan dibanding-bandingkan dengan abang dan kakaknya yang sering mendapat keputusan cemerlang.

“Kenapa adik malas sangat nak belajar. Tengok abang dan kakak itu, dia orang berjaya sebab rajin belajar bukan macam adik yang malas nak belajar,” kata-kata itulah yang sering si bongsu dengar.

Sebenarnya, si bongsu tidak suka dibanding-bandingkan oleh sesiapa sahaja. Mereka akan berasa tidak berguna dan lebih cenderung untuk memilih haluan yang jauh berbeza dengan abang dan kakaknya.

Sebagai ibu bapa, haruslah menyokong apa yang dilakukan oleh anak bongsu dan berilah mereka ruang untuk memberi pendapat serta membuat keputusan sendiri agar mereka boleh belajar menjadi orang yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan.

Artikel Lain Untuk Di Baca