Perak Muncul Sebagai Negeri Teratas Dalam Senarai Perkembangan Terbaik Perangi COVID-19

Perak muncul sebagai negeri teratas dalam senarai negeri-negeri yang mencatatkan perkembangan terbaik dalam memerangi penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Besar Perak iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan Perak mempunyai bilangan kes aktif terendah iaitu 25 pesakit (9.9 peratus) yang masih menjalani rawatan berbanding dengan jumlah 252 kes positif jangkitan COVID-19 yang direkodkan.

Di samping itu, Perak juga merupakan salah satu daripada enam negeri yang bebas daripada klasifikasi zon merah bagi kes aktif susulan penurunan jumlah kes jangkitan baharu. Untuk rekod, sesebuah daerah akan diklasifikasikan sebagai zon merah apabila bilangan kes aktif melebihi 41 kes.

“Jutaan tahniah dan syabas kepada setiap petugas barisan hadapan perubatan, keselamatan dan pentadbiran yang telah bekerja keras bagi mencapai angka-angka yang melegakan ini.

“Tahniah juga kepada semua rakyat negeri ini yang telah memberi komitmen terbaik mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Datuk Seri Ahmad Faizal menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya terus mematuhi PKP, mengamalkan penjarakan sosial, selalu mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri masing-masing.

Moh (mari) kita hijaukan semua daerah di negeri ini, Perak boleh!” coret beliau.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca