Mulai 10 Julai ini, Perak membenarkan solat Jumaat diadakan di surau-surau yang didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk iaitu Shahrul Azam Shaari, ia termasuk surau di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan dan pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai serta mampu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia, dengan ini menzahirkan titah perkenan,” kata Shahrul Azam menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrul Azam, kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini bagaimanapun hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Dalam pada itu, bilangan jemaah di surau dihadkan berdasarkan kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.
“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” kata Shahrul Azam.
Pada masa yang sama, amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat Qabliah dan Ba‘diah, wirid sesudah solat dan kuliah antara waktu solat Maghrib dan Isyak turut dibenarkan.
“Kuliah selepas solat Subuh dalam had tempoh masa tidak melebihi 30 minit dengan pematuhan garis panduan dan SOP boleh dilaksanakan di masjid dan surau,” jelas Shahrul Azam.
Difahamkan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat dalam masa terdekat.
Senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh PKPP juga akan dikeluarkan oleh JAIPk.
Tambah Shahrul Azam lagi, arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk.
Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah: