Penyelidik Dakwa Temui Kapal Van Der Wijck Di Dasar Laut Indonesia

Ahli arkeologi dari Pusat Pemuliharaan Warisan Budaya Jawa Timur (BPCB) mendakwa telah menemui bangkai kapal Van der Wijk yang karam di Laut Jawa pada 20 November 1936.

Memetik laporan Detik, penyelidik berkata mereka menemui beberapa bahagian kapal seperti cerobong wap, cerucuk, tangga dan peti kargo di bahagian belakang bangkai.

Dinamakan bersempena Gabenor Jeneral Hindia Belanda iaitu Jonkheer Carel Herman Aart van der Wijck, ia dianggap antara kapal moden, mewah dan indah pada zaman itu.

Untuk pengetahuan anda, hanya 153 orang sahaja daripada 223 penumpang van der Wijck yang berjaya diselamatkan pada hari kejadian manakala 70 penumpang lagi hilang.

Kapal mewah itu dipercayai telah mengambil masa selama enam minit sahaja untuk karam dan puncanya masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Sumber: Wreck Site

Pasukan penyelidik telah memperoleh lokasi bangkai kapal legenda itu daripada dokumentasi sejarah. Penyelam juga dipercayai telah berjaya menjejak lokasi bangkai kapal itu pada hari pertama pencarian.

Matlamat asal para penyelidik adalah untuk mendokumentasikan bangkai kapal legenda berkenaan. Hasilnya nanti akan digunakan oleh pihak penyelidik bagi merancang tindakan seterusnya untuk memeriksa sama ada kapal itu benar-benar sebahagian daripada Kapal van der Wijck atau sebaliknya.

Menurut laporan CNN Indonesia, penemuan itu masih dikaji untuk mencari bukti konkrit berdasarkan sains. Sebanyak 25 orang dari BPCB, Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Lamongan, polis udara dan air serta nelayan bekerja dalam usaha untuk mencari bangkai kapal tersebut sepanjang perairan Brondong Lamongan.

Pada pendapat anda, adakah ia benar-benar kapal van der Wijck ataupun sebaliknya?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan van der Wijck, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca