Penyelidik Australia Mengakui Malaysia Layak Diiktiraf Dan Dijadikan Contoh Negara Lain Dalam Menangani COVID-19

Selepas mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada media China serta badan penyelidik dunia, kali ini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sekali lagi diberi penghargaan daripada penyelidik Australia pula.

Memetik laporan Channel News Asia, Malaysia mengendalikan wabak pandemik COVID-19 dengan begitu baik sekali walaupun pada ketika itu negara sedang mengalami krisis politik iaitu peralihan kuasa kabinet.

Penyelidik dari Australia yang bernama Stewart Nixon itu memuji Malaysia kerana menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan begitu ketat iaitu dengan mengambil tindakan kepada individu yang melanggar arahan.

Hal ini dapat dilihat menerusi penutupan premis-premis perniagaan, halangan melakukan majlis perkahwinan serta aktiviti riadah di luar rumah.

“PKP di Malaysia agak ketat, mereka melarang segala pergerakan orang awam selain daripada sektor-sektor perkhidmatan yang diperlukan (essential service).

“Aktiviti beriadah di luar adalah dilarang dengan tangkapan kira-kira 20,000 individu yang didakwa mengingkari arahan PKP tersebut.

“Selain itu, penglibatan anggota polis dan tentera juga dikerah bagi mengawal dan menguatkuasakan perintah, tidak seperti di Filipina yang menghalang tentera mereka untuk berkawal dengan senjata.

“Malah, pembelian panik juga adalah dilarang serta ramai rakyat Malaysia yang membantu secara sukarela,” tambah Stewart.

Menurutnya lagi, respon Malaysia terhadap pandemik COVID-19 layak diiktiraf dan menjadi ikutan kepada negara-negara yang mempunyai konflik pencerobohan sempadan, populasi yang padat serta iklim politik yang tidak menentu.

“Usaha keras Malaysia ini diterajui di bawah kepimpinan pemimpin yang meyakinkan, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang mampu menggabungkan kepakarannya dalam bidang perubatan dengan penjagaan dasar awam yang hebat.

“Beliau dan golongan profesional barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) turut mendapat sokongan daripada ahli politik kerajaan untuk memikul tanggungjawab itu.

“Pelaksanaan pencegahan berjaya dijalankan secara konsisten dan diselaraskan di seluruh negara, selain pesanan beliau untuk orang awam ternyata jelas dan berfakta serta penyampaiannya yang boleh diakses melalui media lama mahupun baharu.

“Selain itu, perkhidmatan awam yang kuat bersumberkan kepimpinan tanpa berunsur politik juga terbukti sangat berharga,” tulis Stewart.

Selain itu, Stewart juga turut membahaskan pandangan peribadinya mengenai strategi Malaysia menangani pandemik COVID-19 yang melibatkan warga asing.

“Malaysia menjalankan pendekatan strategi PKP yang melibatkan warga asing secara pragmatik dan berperikemanusiaan.

“Atas nilai itu, ianya telah mendorong warga asing tanpa dokumen untuk tampil menjalani saringan dan rawatan tanpa sebarang diskriminasi serta hukuman.

“Ianya juga membuka ruang kerjasama antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi makan kepada mereka (warga asing) yang terperangkap dalam kawalan PKP,” katanya.

Menurutnya lagi, dunia perlu bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi ancaman pandemik, seperti Malaysia yang bergabung bersama China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara ASEAN dalam saling memperkuatkan rantaian bekalan seperti barangan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, berita baik ini juga turut diciap oleh seorang pengguna Twitter iaitu Dr. Jemilah Mahmood. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KKM serta Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Pengiktirafan daripada penyelidik luar itu telah membuktikan bahawa Malaysia mampu mengharungi detik sukar ini walaupun mempunyai isu dalaman ketika pandemik ini menular.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah kerajaan dalam mengekang penularan virus COVID-19.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca