Penyanyi Popular Era 80-An, Datuk Nassier Wahab Meninggal Dunia Pada Usia 57 Tahun

Penyanyi popular era 80-an, Datuk Nassier Wahab menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.

Menurut laporan Astro Awani, berita sedih itu dikongsikan oleh rakan karib Allahyarham iaitu Zur Eda yang juga merupakan teman seangkatannya dalam industri hiburan tanah air menerusi aplikasi WhatsApp.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC.”

“Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin,” coretnya ringkas.

Sementara itu, khabar duka itu turut dikongsi oleh seorang lagi teman seangkatan Nassier dari zaman popularnya iaitu Azizul Khamis menerusi akaun laman sosialnya.

“Allahuakbar. Al-Fatihah dengan bacaan untuk sahabat saya, Datuk Nassier Wahab yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi.”

“Al-Fatihah. Semoga rohnya tenang di sana,” tulis Azizul di laman Facebook.

Terdahulu, Nassier yang berusia 57 tahun pernah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada rahang kirinya pada 1 Jun lalu setelah mengalami kesakitan sejak lima tahun lepas di bahagian gusi.

Selepas prosedur tersebut, penyanyi yang terkenal menerusi lagu berjudul Sekali Aku Jatuh Cinta itu mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.

Menurut pembantu peribadi Nassier yang dikenali sebagai Aliff Salim, Allahyarham cuma akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu.

“Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya.”

“Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Doktor kemudiannya menasihatkan Nassier supaya menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.

“Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.

Tambah Aliff lagi, orang ramai memang nampak Nassier sihat, tetapi sebenarnya hanya tuan empunya badan yang tahu betapa deritanya apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.

“Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat badannya agak susut,” katanya.

Ujar Aliff, Nassier dinasihatkan doktor agar berehat secukupnya sebelum kembali menyanyi.

“Sebelum ini Nassier memang merahsiakan kesakitannya. Apabila sakit itu datang, saya terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya padat,” katanya.

Team Lejen Press Digital mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Datuk Nassier Wahab. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Artikel Lain Untuk Di Baca