Penunggang ‘Roller Coaster’ Di Jepun Diminta Jerit Dalam Hati Untuk Elak Sebar COVID-19

Para pengunjung sebuah taman tema yang bertempat di Jepun diminta untuk menjerit di dalam hati semasa menaiki roller coaster bagi mengelakkan penyebaran wabak COVID-19.

Pengendali taman tema Fuji-Q Highland membuat rayuan berkenaan kerana khuatir penyebaran virus daripada titisan air liur semasa menjerit yang boleh meningkatkan penularan pandemik itu.

Sumber: Voyagin Blog

Memetik laporan media tempatan, taman tema yang dibuka semula bulan lalu itu mengambil langkah berkenaan selepas mengikuti saranan daripada persatuan taman tema.

Para pelanggan bagaimanapun rata-ratanya tidak bersetuju dengan saranan itu kerana tidak mungkin mereka boleh kekal diam ketika menaiki roller coaster.

Difahamkan, roller coaster sepanjang dua kilometer itu berupaya mencapai kelajuan 130 kilometer sejam sebelum turun serta-merta pada ketinggian 70 meter.

Sedar akan rungutan daripada orang ramai, pihak Fuji-Q Highland tampil mengeluarkan satu video memaparkan dua orang eksekutif menaiki roller coaster itu tanpa mengeluarkan sebarang suara bagi membuktikan yang langkah tersebut tidak mustahil untuk dilakukan.

Sumber: YouTube Fuji-Q Highland Official

Video berdurasi empat minit lima saat itu memaparkan dua orang lelaki mengenakan pelitup muka dan berpakaian formal berjaya mengekalkan riak wajah yang serius sepanjang menaiki roller coaster tersebut.

Pada penghujung video tersebut, terdapat mesej yang ditulis dalam bahasa Jepun mengatakan, “Tolong menjerit di dalam hati anda” sekali gus menggesa pengunjung untuk tidak mengeluarkan sebarang suara ketika menaiki roller coaster.

Untuk rekod, negara Jepun tidak terjejas teruk dengan penyebaran wabak COVID-19. Malah, Jepun tidak melaksanakan penutupan ketat seperti negara-negara lain. Terdahulu, hanya sektor perniagaan bukan utama sahaja yang diarahkan untuk tidak beroperasi buat sementara waktu.

Kini, sebilangan besar perniagaan telah pun dibuka semula dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua individu termasuklah para pelanggan.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca