Adakah anda pernah menonton filem-filem ini?
Di sebalik layar filem dan rancangan televisyen (TV) yang kita tonton, ada sepasukan penulis yang giat memerah idea bagi membikin sebuah cerita untuk hiburan orang ramai.
Salah seorang penulis lakon layar yang terlibat dalam penulisan filem-filem di atas adalah Yasmin Yaacob. Beliau berpengalaman selama 15 tahun dalam industri filem dan TV di Malaysia dan Singapura sebagai penulis dan penerbit kreatif.
Yasmin telah menghasilkan banyak skrip pelbagai genre seperti drama, thriller dan sitkom yang diterbitkan oleh gergasi-gergasi media di Malaysia iaitu Media Prima, Astro dan Mediacorp, Singapura.
Cerita Yasmin
“Menulis ini, tidak tidur malam itu perkara biasa.” Yasmin memulakan ceritanya dalam sebuah perkongsian umum di Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) baru-baru ini.

Sebelum berkecimpung dalam dunia penulisan skrin sepenuh masa, Yasmin yang juga pemegang ijazah undang-undang dari Victoria University of Wellington, New Zealand ini pernah bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di Astro dan Petronas. Kesibukan harian menuntutnya untuk korbankan tidur dan menulis pada waktu malam sehingga subuh demi minatnya pada bidang penulisan.
“Soalnya, adakah anda betul-betul mahu menulis dan sanggup berkorban?”
“Menulis skrip memerlukan banyak praktis. Saya dulu belajar sendiri, membaca banyak buku, menonton program TV dan pergi bengkel-bengkel. Malah jika buka internet, cari dan tiru sambil belajar skrip yang ada itu pun you dapat rasa macam mana nak tulis skrip yang bagus.” ujarnya lagi.
HBO dan Netflix
Pada tahun 2013, Yasmin dan pihak produksinya telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat TV dari Amerika iaitu HBO yang mahu meluaskan pasarannya di Asia.
Kemudian, Bos HBO bertukar kerja ke Netflix, sebuah syarikat yang menyediakan servis penyiaran video, filem dan program TV.
Suatu hari, pihak Netflix mahu mengadaptasi novel Ghost Bride karya penulis dari Malaysia, Yangsze Choo menjadi siri TV. Menurut Yasmin, novel ini tidak begitu hit di Malaysia tetapi sangat popular di dunia Barat dan dinobatkan sebagai ‘New York Times Best-selling’.

Berlatarkan tahun 1890-an, era kolonial Melaka, novel ini mengisahkan tentang Li Lan, yang dilamar oleh sebuah keluarga yang kaya raya untuk menjadi ‘Pengantin Hantu’ kepada anak lelaki mereka yang baru meninggal dunia secara misteri.
Mengikut budaya Cina, perkahwinan hantu ini untuk ‘mendamaikan’ roh yang tidak tenteram. Li Lan menerima tawaran tersebut kerana mahu menyelesaikan hutang keluarganya dan hidupnya terus dihantui oleh hantu suaminya. Apakah misteri di sebalik kematian suaminya dan kegelapan di sebalik keluarga mentuanya?
Netflix telah memilih rumah produksi dari Malaysia yang diurus oleh Yasmin iaitu Ideate Malaysia untuk membikin siri TV tersebut. Menurut laporan Says.com, lokasi penggambaran dijalankan di Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru dengan dua orang pengarah dari Malaysia iaitu Quek Shio-Chuan dan Ho Yuhang.
Menulis untuk Netflix
“Netflix sudah ada penulis sendiri dan dia menghantar penulisnya dari Amerika sebagai ketua penulis lakon layar projek ini dan berunding mengenai skrip. Skrip ditulis dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan ke bahasa Mandarin.”ujar Yasmin.
Pihak produksi dan Yasmin selaku ketua pembangunan telah bekerjasama dengan unit kreatif Netflix bagi mencari tim penulis skrip. Menurutnya lagi, pemilihan penulis ini amat teliti dan mengambil masa yang lama kerana selain penelitian sampel penulisan skrip, akan ada juga temu duga bagi calon yang berjaya di senarai pendek.
“Pemilihan ini penting kerana kita nak cari penulis kandungan yang boleh bagi idea, boleh bawa berbincang dan orang-orang yang berbeza antara satu sama lain untuk membentuk pasukan penulis dalam Writer’s Room itu nanti. Penulis yang terpilih adalah dua orang warga Malaysia, seorang dari Taiwan, dan dua orang lagi dari Amerika.”
Setelah itu, penulis-penulis ini akan ‘berkurung’ selama enam minggu dalam Writer’s Room tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang untuk brainstorming, berbincang, menulis draf skrip.
Mereka turut turun padang ke Melaka bagi menyelidik budaya Baba dan Nyonya. Proses ini berjalan selama dua bulan sehinggalah draf skrip tersebut siap dan diserahkan kepada pihak penggambaran.
“Kena tulis semula atau pengarah komen itu ini adalah perkara biasa. Kadang-kadang pihak Netflix datang bagi hadiah atau buah tangan. Itu stail orang Hollywood.” kata Yasmin lagi.
Nasihat kepada penulis muda
“Saya suka kalau ada penulis muda dalam Writer’s room tu sebab pandangan you all ni lain dan saya suka orang yang berbeza-beza. Lagipun novel Ghost Bride ini untuk pembaca young adult dan kami turut memerlukan idea serta pandangan penulis muda.
Produser macam saya ni nak sangat ambil penulis-penulis baru yang ada attitude bagus. Penulis muda yang berpotensi akan dipasangkan dengan penulis senior yang berpengalaman.”
Selain banyakan praktis or just do it, anda juga perlu peka tentang perkembangan industri dan bisnes ini. Belajar juga bina hubungan yang baik atau networking dengan orang-orang yang berpengaruh dalam industri dan dekati produser. Suka tak suka, that’s how business is running.” ujar Yasmin mengakhiri sesi perkongsian tersebut.