Bagi mereka yang meminati filem seram, anda wajib menonton filem ‘Hide and Seek: Minako’ dari Indonesia yang menampilkan satu tema baru iaitu seram fantasi.
Menurut pengarah, Billy Christian filem ini diadaptasikan daripada sebuah novel Petak Umpet: Minako dan memberikan satu cabaran bagi beliau untuk memastikan jalan ceritanya tidak berubah.
Filem lakonan Regina Rengganis, Miller Khan, Nicky Tirta, Wendy Wilson, Natasha Goot dan Gandhi Fernando, berlatar belakangkan permainan yang popular dalam kalangan remaja iaitu permainan sorok-sorok.
Permainan ini bermula apabila sekumpulan sahabat baik mengadakan reunion di sebuah sekolah lama mereka dan ada salah seorang daripada mereka mencipta satu permainan tradisi Jepun iaitu Hitori Kakurenbo sebagai aktiviti reunion mereka.
Di samping itu, filem ini juga mempunyai kelainan daripada filem seram biasa apabila ia menggabungkan dua budaya berbeza dari Indonesia dan Jepun. Miller Khan merupakan peneraju utama filem ini di mana beliau sempat berkongsikan detik-detik seram yang berlaku di lokasi penggambaran apabila salah seorang daripada krew penggambaran telah dirasuk.
Mampukah filem Hide and Seek Minako arahan Billy Christian ini menghilangkan suara anda dek kerana menjerit di dalam pawagam? Sama-sama kita tonton filem ini.