Peniaga Di Negeri Sembilan Ini Dikompaun Gara-Gara Guna Pencuci Lantai Sebagai Hand Sanitizer

Tindakan seorang peniaga di Jempol, Negeri Sembilan menggunakan pencuci lantai sebagai hand sanitizer di kedainya memakan diri apabila perbuatannya itu dikesan pihak berkuasa.

Menurut peniaga tersebut, dia mendakwa pencuci lantai yang digunakannya itu lebih murah dan boleh menghapuskan kuman pada tangan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, tindakan licik peniaga itu berjaya dikesan ketika operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diadakan baru-baru ini.

“Perbuatannya itu pula menganiaya kesihatan orang lain.

“Kerana kandungan bahan pencuci lantai boleh mendatangkan masalah kepada manusia,” jelasnya.

Menurut Mohd Hafiz lagi, pihaknya turut mengeluarkan empat lagi kompaun kepada peniaga sekitar Bahau, Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka, tiada daftar masuk pelanggan, tidak menyediakan buku daftar pelanggan dan tidak menghadkan pelanggan masuk ke dalam premis.

“Pihak berkuasa akan terus mengadakan Op Pematuhan seluruh daerah bagi memastikan orang ramai termasuk peniaga mematuhi semua SOP ditetapkan,” katanya.

Susulan daripada kejadian berkenaan, peniaga itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Operasi Pematuhan SOP PKPP itu difahamkan diadakan bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari dan turut disertai beberapa agensi penguatkuasa lain bersama-sama Polis Diraja Malaysia.

Semoga dengan penguatkuasaan dan pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa ini akan memberi kesedaran kepada peniaga-peniaga yang mungkin pernah atau terfikir untuk mengamalkan taktik licik ini.

Perkara ini bukan sahaja akan membahayakan pengguna namun ia juga boleh meletakkan pelanggan dalam risiko penularan wabak COVID-19 yang masih berada dalam masyarakat kita ketika ini.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca