Peniaga Akan Didenda Jika Guna Telefon Bimbit Dan Pakai Perhiasan Di Bazar Ramadan

Denda boleh dikenakan terhadap para peniaga bazar Ramadan yang menggunakan telefon bimbit, memakai jam tangan dan juga perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafisah Ku Ariffin, tindakan tersebut diambil kerana mereka gagal mematuhi peraturan berkaitan aspek pemakaian dan penjagaan kebersihan yang ditetapkan.

Tambahnya lagi, pada tahun lepas, sebanyak 128 notis membabitkan nilai kompaun berjumlah RM18,200 dikeluarkan kepada peniaga bazaar Ramadan yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Antara kesalahan yang sering kali dilakukan termasuklah berkaitan kebersihan premis, pekerja tidak mendapat suntikan anti-tifoid dan masalah pakaian pengendali makanan.

“Keseluruhan kutipan daripada kompaun yang kita dapat adalah RM18,200, agak banyak. Kita lihat banyak berlaku ketidakpatuhan kepada peraturan kebersihan makanan yang telah kita tetapkan,” katanya.

“Kita harap tahun ini tidaklah sebanyak ini, sebab kita dah beri taklimat, sepatunya mereka ikut apa yang diberikan,” tambahnya lagi ketika mengadakan lawatan ke Tapak Bazar Ramadan Bertam Putra bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Kepala Batas.

Dalam lawatan itu, para peniaga turut diberikan topi dan apron oleh pihak JKNPP.

Menurut Ku Nafisah, seramai 52 penganjur bazar Ramadan di negeri Pulau Pinang sudah mengikuti taklimat berhubung pengendalian makanan dan penjagaan kebersihan.

Meskipun kebanyakan peniaga tahu tentang peraturan yang ditetapkan, namun masih ada di antara mereka yang memilih untuk melanggar peraturan tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin pula menegaskan bahawa dia mahu setiap peniaga mengikut syarat dalam mengendalikan makanan kerana ia penting agar pengguna mendapat sumber yang bersih dan sihat untuk dimakan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca