Pengunjung Mossy Forest Bakal Dikenakan Bayaran Bermula 1 Mac

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan mengenakan bayaran masuk ke Mossy Forest, Cameron Highlands bermula 1 Mac ini.

Sebelum ini tiada bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung Mossy Forest yang terletak pada ketinggian kira-kira 2,031 meter dari aras laut itu.

Pengarah JPNP, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin berkata, bayaran tersebut dikenakan bagi pengunjung yang memasuki Mossy Forest hingga ke penghujung laluan boardwalk sahaja.

“Bagi warganegara, bayaran masuk untuk pengunjung dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas hanya RM5.”

“Bayaran masuk untuk bukan warganegara pula adalah RM30 bagi pengunjung dewasa dan warga emas manakala RM15 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya kepada wartawan Kosmo.

Untuk pengunjung Orang Kurang Upaya (OKU) pula tiada sebarang bayaran dikenakan dan mereka hanya perlu membawa kad sebagai pengesahan.

“Bagi pengunjung yang ingin mendaki Gunung Irau melalui Mossy Forest, mereka perlu membuat permohonan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal dan membayar caj masuk,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, bayaran masuk itu dikenakan bagi menampung kos penyelenggaraan yang dilakukan oleh pihaknya. Kadar caj dikenakan juga tidak terlalu tinggi dan masih berpatutan dengan apa yang ditawarkan.

“Kita ada lima lagi Taman Eko Rimba di bawah seliaan JPNP yang turut akan dikenakan caj masuk selepas ini,” jelasnya.

Mossy Forest atau dikenali bukit berlumut merupakan salah satu destinasi yang semakin terkenal terutama bagi penggemar aktiviti mendaki kerana laluannya agak mencabar dan pemandangannya yang cantik.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca