Keberanian seorang pemuda, Abdul Bari Asyraf, 31 menyelamatkan lima sekeluarga daripada mati lepas apabila kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Terengganu mendapat perhatian seluruh negara. Pemuda itu bagaimanapun telah disahkan mati lemas setelah gerakan mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa telah menemui mayatnya pagi tadi.
Melalui satu hantaran Facebook, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengorbanan Allahyarham dalam menyelamatkan mangsa insiden berkenaan adalah satu tindakan amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.
“Sesungguhnya, pengorbanan almarhum untuk menyelamatkan mangsa-mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia dan dengan izin-Nya, termasuk dalam kategori syahid, insyaAllah.”
Dr. Zulkifli juga antaranya menyebut, akhlak terpuji Allahyarham itu wajar dijadikan contoh dan ikutan anak muda di negara ini.
“Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohi almarhum.”
Mayat Abdul Bari Asyraf telah ditemui anggota bomba dan penyelamat pada pukul 7.23 pagi, hari ini. Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu, selepas solat Zohor.
Kami mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberikan kekuatan dalam mengharungi waktu-waktu sukar ini. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama mereka, in sya Allah.