“Pengiktirafan Ini Bukan Untuk Saya, Tapi Untuk Negara.” – Dr. Noor Hisham

Umum sedia maklum bahawa Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak COVID-19 ketika ini.

Beliau telah diiktiraf oleh China Global Televisyen Network (CGTN) sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik di dunia dalam usaha menangani situasi pandemik COVID-19 ini.

Bersandarkan laporan CGTN, Datuk Dr. Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang COVID-19 selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mereka mengetengahkan penampilan yang tenang, jelas serta meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik itu.

Meskipun tidak menggalas jawatan sebagai menteri Kabinet, mereka menempa kejayaan dengan muncul sebagai wajah negara masing-masing dalam memerangi COVID-19, selain ada yang memberikan gelaran pujaan hati, rock star dan hero negara di media.

Pengiktirafan yang diterima oleh Datuk Dr. Noor Hisham telah menjadi salah satu soalan yang dilontarkan oleh seorang wartawan ketika Sidang Media Harian COVID-19 yang diadakan semalam, 16 April 2020.

Jawapan daripada beliau benar-benar membuatkan rakyat Malaysia kagum. Dr. Noor Hisham dikatakan seorang yang sangat merendah diri walaupun pengiktirafan tersebut adalah di atas usaha kerja keras beliau setiap hari bagi memastikan Malaysia dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini.

“Pembuat keputusan bukan saya, tetapi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Contohnya, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) adalah dilaksanakan oleh Perdana Menteri, kita sekadar nasihat.

“Ada empat tindakan penting yang perlu dalam mengawal penularan wabak ini, antaranya kawalan sempadan kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kawalan pergerakan pula dijayakan hasil kerjasama erat antara kementerian dengan PDRM supaya segenap lapisan masyarakat patuh kepada perintah ini.

“Tidak lupa, petugas barisan hadapan yang tampil ke depan untuk bersama membantu usaha menangani penularan COVID-19. Jadi pengiktirafan ini bukan untuk saya, tetapi untuk negara,” katanya di sidang media semalam.

Dr. Noor Hisham yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013 dan berasal dari Kuala Lumpur, sememangnya mendapat kepercayaan penuh rakyat Malaysia susulan kekerapan beliau mengemas kini data situasi semasa keadaan COVID-19 menerusi media sosial dan sidang media.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Datuk Dr. Noor Hisham, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca