Pengguna KTM Komuter Boleh Dapatkan Kad Baharu Yang Mengandungi Tambahan Diskaun 20 Peratus Mulai 23 Mac

Pengguna KTM komuter boleh mendapatkan kad baharu yang mengandungi tambahan diskaun 20 peratus mulai hari ini di Stesen KL Sentral dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata bagi pengedaran secara berperingkat pula, ia akan dilakukan di semua stesen di Lembah Klang sehingga sektor selatan di Pulau Sebang/Tampin, Negeri Sembilan pada 25 Mac ini.

“Para pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad dan hanya satu kad sahaja akan dikeluarkan untuk setiap warganegara berumur antara 13 hingga 59 tahun,” katanya kepada wartawan Bernama.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tatacara penggantian serta penggunaan kad baharu itu di mana-mana stesen, menerusi hebahan serta saluran media baharu KTMB.

“Ia dibuat bagi memastikan pengguna dapat menggunakan diskaun keseluruhan 40 peratus menjelang 1 April ini,” katanya.

Pada 20 Februari lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan tambahan diskaun 20 peratus bagi perkhidmatan KTM Komuter sekali gus membolehkan hampir 100,000 menikmati kadar tambang lebih murah apabila jumlah keseluruhan yang diberi ialah 40 peratus.

Pelancaran tambahan diskaun 20 peratus itu dijadual berlangsung pada 31 Mac ini.

Sebelum itu, KTMB telah memperkenalkan kaedah transaksi tambang tanpa tunai menerusi penggunaan kad Komuter Link, Touch `n Go dan MyKad untuk pengguna KTM Komuter menikmati diskaun tambang sehingga 20 peratus.

Menurut Mohd Rani, penambahan kadar diskaun itu dijangka mampu meningkatkan minat rakyat di negara ini untuk menggunakan perkhidmatan awam berasaskan rel sekali gus membolehkan rakyat membuat penjimatan dalam menangani kos sara hidup mereka

Sumber:
Bernama

Artikel Lain Untuk Di Baca