Penggemar Warna Oren Tanda Kurang Kasih Sayang? Ketahui 9 Maksud Di Sebalik Warna Yang Anda Suka

Setiap daripada pembaca mesti mempunyai warna kegemaran masing-masing. Tahukah anda? Warna boleh mempengaruhi kehidupan seseorang sekaligus memperlihatkan karakter dalam diri individu.

Berikut merupakan sembilan jenis warna berserta maksud di sebaliknya:

1. Merah

Merah merupakan warna yang mengghairahkan. Bukan itu sahaja, warna ini juga banyak dikaitkan dengan simbol percintaan dan kebencian. Individu yang berminat dengan warna ini mempunyai keperibadian sangat luar biasa. Ini kerana, mereka lebih cenderung untuk melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat apa yang diinginkan. Ia menunjukkan seseorang itu bersikap terbuka dan boleh menerima perkara baharu dalam kehidupan mereka.

2. Biru

Warna yang melambangkan ketenangan dan paling sesuai digunakan untuk warna tema di bilik tidur anda. Selain memberi ketenangan, warna ini menggambarkan seseorang yang begitu peka akan perasaan sekelilingnya. Kebanyakan individu yang meminati warna biru ini biasanya sangat dihormati dan dikagumi orang ramai.

3. Kuning

Warna yang begitu simbolik dengan kegembiraan. Individu yang meminati warna ini sangat mementingkan kebahagiaan dan keceriaan. Selain itu, warna ini juga berkait rapat dengan kekuatan, sikap berwaspada dan ketelitian dalam melakukan sesuatu perkara. Menerusi warna ini, individu jelas mempunyai sikap spontan dan toleransi yang sangat tinggi.

4. Hijau

Hijau melambangkan aura positif dan semulajadi. Warna ini sangat berkait dengan kesihatan dan kesejahteraan seseorang dalam kehidupan. Memiliki sedikit persamaan dengan warna biru, ia mampu membangkitkan rasa kedamaian dan ketenangan. Bagi penggemar warna hijau, individu biasanya bersikap positif dan santai dalam semua perkara. Mereka juga tergolong sebagai orang yang sabar dan cenderung mengundurkan diri apabila berlaku perubahan di persekitarannya.

5. Oren

Warna oren melambangkan keriangan dan perasaan yang hangat. Mereka yang meminati warna ini cenderung bersifat ceria dan ramah. Selain itu, mereka juga bijak menarik perhatian orang sekeliling meskipun kelihatan agak sedikit mengada-ada dan kurang kasih sayang.

6. Ungu

Warna ungu dikategorikan sebagai warna yang menyenangkan dan membantu meredakan suasana tegang. Selain itu, penggemar warna ungu dikatakan memiliki perwatakan unik kerana tahap keyakinan mereka berbeza daripada yang lain. Mereka sangat sensitif, mudah terluka namun meminati bidang seni.

7. Hitam

Hitam sebenarnya disimbolkan sebagai kegagahan meskipun negara Barat kebanyakannya menganggap ia sebagai warna kematian. Penggemar warna hitam menunjukkan ia memiliki sifat kuat, tabah dan produktif.

8. Putih

Warna putih melambangkan keharmonian dan keseimbangan dalam penyatuan. Ia juga sering dianggap sebagai simbol kesucian dan kemurniaan hati seseorang. Penggemar warna ini mempunyai keperibadian yang gemar membantu siapa sahaja tatkala memerlukan pertolongan.

9. Merah jambu

Penggemar merah jambu mempunyai sifat yang lembut. Malahan, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa terdapat satu maksud mendalam seperti pengharapan cinta kepada seseorang yang disayangi.

Penulis amat menggemari warna biru dan juga hitam. Bagaimana pula dengan anda?

Penulis

  • Siti Nor Rafiqah Binti Mohd Nasir adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca