Penggemar Telur Hancur Mempunyai Peribadi Yang ‘Hancur’? Ini Personaliti Seseorang Berdasarkan 4 Masakan Telur

Pasti ramai pembaca di sini yang gemar untuk makan telur. Selain mudah didapati, ia juga sangat murah dan mengenyangkan. Malah, telur juga mengandungi nutrisi yang tinggi. Tidak hairanlah rata-rata yang sedang berdiet selalunya akan makan telur.

Menariknya, pelbagai menu boleh dibuat dengan menggunakan telur sebagai bahan asas. Ada telur rebus, telur dadar, telur mata dan juga telur hancur. Ramai yang tidak tahu bahawa kita sebenarnya boleh mengetahui personaliti seseorang menerusi masakan telur kegemaran mereka.

Kali ini, kami kongsikan personaliti seseorang berdasarkan 4 jenis masakan telur:

1. Telur rebus

Mereka yang menggemari telur rebus dikatakan mempunyai keperibadian yang unik. Selain itu, mereka juga sentiasa berfikiran matang. Kadang-kadang, umur baru sahaja mencecah belasan tahun tapi pemikiran seolah-olah sudah lama hidup di dunia ini.

Pada masa yang sama, mereka juga sukakan tentangan. Mesti jenis rebel orangnya. Mereka yang menggemari telur rebus ini juga dikatakan seseorang yang tidak teratur dalam melakukan sesuatu kerja. Dalam erti kata lain, mereka ini tidak rancang terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu perkara.

2. Telur dadar

Lain pula dengan mereka yang suka makan telur rebus, penggemar telur dadar dikatakan seorang yang sangat teratur. Sebelum membuat sesuatu perkara, mereka akan rancang terlebih dahulu. Kiranya, tak main buat sahaja.

Selain itu, mereka juga sangat menjaga kebersihan dan sukakan kerapian. Patutlah kalau telur dadar melekat dekat kuali boleh murung seminggu!

Penggemar telur dadar juga merupakan seseorang yang amat mementingkan kesempurnaan atau Mat Salih selalu sebut sebagai perfectionist. Ada baik dan buruknya juga jadi perfectionist di mana kerja yang dilakukan pasti ‘tip top’ namun ia akan mengambil masa yang lama.

Di samping itu, mereka yang menggemari telur dadar sangat ramah orangnya dan pandai bergaul. Ini menjadikan mereka sangat disenangi oleh orang sekeliling.

3. Telur mata

Mereka yang suka makan telur mata ini sukar untuk diramal. Mereka juga mempunyai peribadi yang ceria. Agaknya, lepas bergaduh dengan buah hati pun tetap ceria orangnya.

Penggemar telur mata juga dikatakan seorang yang suka menyendiri. Dalam erti kata lain, mereka tidak suka bergaul dan lebih senang untuk habiskan masa seorang diri. Makan telur mata seorang diri, main PUBG pun solo dan mungkin, beratur beli bubble tea pun seorang diri.

4. Telur hancur

Macam mana agaknya peribadi penggemar telur hancur? Adakah ‘hancur’ macam telur itu? Tidak sama sekali. Mereka yang gemarkan telur hancur ini sukakan kebebasan selain mempunyai tahap kreativiti yang tinggi. Mereka juga dikatakan mempunyai keperibadian yang ramah dan sering disenangi oleh orang sekeliling.

Jadi, adakah keperibadian yang digambarkan setiap masakan telur di atas mencerminkan diri anda?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca