Pengecualian Sewa PPR Selama Sebulan, Usaha KPKT Mendapat Respons Positif Rakyat

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak COVID-19 ternyata memberi kesan yang agak besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Banyak aktiviti ekonomi terjejas, sukar untuk mencari pendapatan sehinggakan ada yang terpaksa mengeluarkan simpanan bagi meneruskan kelangsungan hidup sehingga tempoh PKP ini berakhir. Golongan B40 merupakan golongan yang paling terkesan sepanjang tempoh PKP dijalankan.

Memahami beban yang ditanggung, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Menterinya, Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan beberapa usaha untuk meringankan beban rakyat yang terkesan sepanjang PKP.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan, seramai 9,185 penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah KPKT mendapat pengecualian sewa selama sebulan. PPR di bawah pengurusan KPKT yang terlibat ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kg Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port Dickson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.

Zuraida juga turut menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan budi bicara masing-masing untuk memberi pengecualian sewa premis PBT kepada peniaga kecil yang menerima kesan akibat pelaksanaan PKP. Saranan tersebut telah disambut oleh kerajaan negeri Selangor yang bersetuju untuk memberi pengecualian sewa premis PBT selama sebulan.

Selain itu, Zuraida juga menggesa PBT untuk memastikan semua pasar raya dan kedai runcit mengamalkan penjarakkan sosial, menyediakan cecair pembasmi kuman di laluan masuk dan keluar serta kerap membersihkan pemegang troli dan bakul barangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19.

Sumber: The Star

Tambah Zuraida lagi, KPKT menerusi Kerajaan Tempatan akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau dan memastikan bahawa pusat jagaan warga emas swasta mempunyai bekalan bahan keperluan yang mencukupi sepanjang tempoh PKP. Rakyat juga diminta untuk duduk di rumah dan menjaga kesihatan diri serta keluarga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Usaha-usaha yang diumumkan oleh Zuraida mendapat respons yang positif daripada warganet. Rata-rata warganet menyambut baik usaha yang diumumkan oleh Zuraida bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang tempoh PKP. Berikut kami kongsikan beberapa coretan daripada warga Twitter:

Semoga mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP ini mendapat manfaat yang baik daripada usaha KPKT ini. Marilah kita sama-sama mengikuti arahan kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 dan semoga keadaan akan kembali pulih seperti sediakala selepas tempoh PKP berakhir.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca