Pengebumian Tergendala, Penggali Kubur Terkejut Jumpa Bom

Seorang penggali kubur telah dikejutkan dengan penemuan sebutir bom sewaktu sedang menggali liang lahad bagi mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Ukay Perdana pada Selasa.

Dalam insiden sekitar jam 2.25 petang itu, lelaki berkenaan telah memaklumkan kepada pihak polis berhubung penemuan bom tersebut kerana bimbang ia akan mengancam keselamatan awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya iaitu Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan anggota polis telah ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati bahawa bom berkenaan adalah jenis mortar sepanjang 8.1 sentimeter dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah dipanggil untuk tindakan lanjut.”

“Kawasan perkuburan terbabit telah ditutup untuk sementara waktu daripada orang awam atas sebab-sebab keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, bom itu bagaimanapun berjaya dimusnahkan oleh unit tersebut dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Bom berkenaan dimusnahkan di kawasan terbabit pada pukul 6.10 petang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca