Penerbang Solo Ke Seluruh Dunia Termuda, Remaja Ini Berjaya Memegang Rekod Baharu

Seorang remaja warga Belgium-Britain menjadi individu termuda yang melakukan penerbangan solo mengelilingi dunia menggunakan pesawat ringan selepas mendarat di Bulgaria.

Mack Rutherford, yang berusia 17 tahun semasa perjalanan itu mendarat di landasan sebuah lapangan terbang kecil bandar ibu negara Bulgaria, Sofia, sekali gus menamatkan penerbangannya dan menerima dua sijil pengiktirafan Guinness World Records.

“Saya cuba tunjukkan dengan pengembaraan ini, orang muda boleh membuat perubahan. Anda hanya perlu menjadikan impian satu kenyataan.

Saya tidak pasti ada rekod lain yang ingin saya pecahkan lagi, tetapi kini saya hanya mahu kembali ke sekolah untuk belajar apa yang ketinggalan.

Sedikit sedih kerana pengembaraan ini sudah berakhir yang dianggap sebagai satu kebebasan apabila dapat terbang,” katanya yang lengkap berpakaian sut juruterbang selepas mendarat.

Mack merampas rekod yang dipegang Travis Ludlow dari Britain, remaja yang membuat penerbangan solo ke seluruh dunia tahun lalu ketika berusia 18 tahun.

Penerbangan Mack meliputi jarak sejauh 54,000 kilometer selama 221 jam merentasi 30 buah negara.

Ketika penerbangan, dia terpaksa menghadapi keadaan suhu sehingga 48 darjah Celsius serta menanti selama berjam-jam untuk mendapatkan kebenaran penerbangan.

Dia juga terpaksa membuat pendaratan cemas di sebuah pulau yang tidak berpenghuni, Attu, di barat Alaska disebabkan angin kencang.

Remaja yang dilahirkan dalam keluarga juruterbang berjaya mendapatkan lesen juruterbangnya pada 2020. Dia ketika itu menjadi juruterbang termuda di dunia pada usia 15 tahun.

Kakaknya, Zara kekal sebagai wanita termuda yang menyelesaikan penerbangan solo keliling dunia pada usia 19 tahun.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca