Penemuan Mayat Dalam Beg Pakaian Gemparkan Penduduk Pandan Indah

Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam sebuah beg pakaian di Jalan 3, Taman Industri Pandan Indah dekat Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya iaitu Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff mengatakan bahawa mayat itu ditemui orang awam sekitar jam 8.52 pagi Selasa.

Difahamkan, badannya yang berikat dengan kabel wayar disumbat di dalam beg pakaian berwarna biru.

“Keadaan mayat itu berpakaian penuh dan kedua-dua kaki mangsa yang tidak memakai kasut telah terkeluar dari beg tersebut ketika ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noor Azmi, mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian mangsa dipercayai kerana tekanan pada bahagian leher.

“Terdapat kesan lebam di bahagian hadapan dan belakang badan mangsa selain kesan jerut di bahagian lengan serta leher kiri sehingga bawah dagu mangsa.”

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Saiful Azhar Rahim di talian 011-12116458,” jelasnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca