Penemuan Kes Varian Omicron Pertama Di Malaysia, KKM Keluar Kenyataan Rasmi

Malaysia mencatat kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron yang membabitkan seorang pelajar bukan warganegara dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan dalam sebuah sidang media hari ini bahawa pelajar terbabit telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri.

Kes positif yang merupakan pelajar berusia 19 tahun itu menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak dan tiba di Malaysia melalui Singapura pada 19 November lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelajar itu telah menjalani ujian RT-PCR setibanya di KLIA. Perjalanan pelajar dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

“Susulan ujian itu, pelajar terbabit diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.”

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November 2021.

Pelajar berkenaan dilaporkan sudah lengkap vaksinasi jenis Pfizer pada 29 September 2021 ketika dia masih berada di Malaysia sebelum pulang ke Afrika Selatan untuk menziarahi keluarganya.

Berdasarkan siasatan, pelajar berkenaan patuh dengan perintah yang dikeluarkan dan telah tamat kuarantin selama 10 hari pada 29 November 2021.

“Pengesanan kontak rapat dijalankan terhadap semua penumpang dan pemandu bas iaitu seramai lima orang. Mereka juga menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib. Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.” 

KKM telah membuat pengesanan bagi semua kontak rapat lain, termasuk di dalam pesawat, di lapangan terbang dan kawasan di mana pelajar itu berada.

Pelajar tersebut bersama lapan kontak rapat baharu yang dikesan akan menjalani ujian RT-PCR COVID-19 hari ini.

Khairy Jamaluddin turut menegaskan bahawa kes varian Omicron di Malaysia ini berlaku sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuannya iaitu pada 24 November 2021.

Artikel-artikel berkaitan lain untuk dibaca:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca