Penduduk Selangor Dibenarkan Makan Dan Minum Di Restoran Mulai Hari Ini

Kerajaan Selangor membenarkan pengunjung restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk di negeri ini untuk menikmati hidangan di premis-premis itu mulai hari ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa orang ramai harus mematuhi penjarakan sosial.

“Semua premis makanan berkenaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial. Namun, peniaga tidak dibenarkan membuka meja di kawasan kaki lima mahupun di tempat letak kenderaan.

Peniaga juga digalak memberi pilihan pra-tempah kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis mereka. Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” kata Datuk Seri Amirudin menerusi satu kenyataan.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei, tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan.

Kerajaan Selangor bagaimanapun memilih untuk melaksanakan PKPB dengan penetapan beberapa perincian tambahan. Antaranya termasuklah peniaga dan penjaja berpremis yang dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam hanya terhad kepada urusan bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran sahaja.

Dalam kenyataan pada Selasa, Amirudin turut memaklumkan bahawa peniaga food truck dan penjaja tepi jalan juga dibenarkan beroperasi semasa PKPB yang kini dilanjutkan sehingga 9 Jun, bermula pukul 8 pagi sehingga 10 malam namun terhad kepada urusan pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja.

Kata beliau, PBT akan meneliti keperluan penggiliran penjaja tepi jalan untuk beroperasi sekiranya kedudukan gerai mereka berdekatan antara satu sama lain sehingga menyukarkan penjarakan sosial dalam kalangan orang awam.

Bagi pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta pula, premis berkenaan boleh beroperasi seperti biasa namun aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di lokasi sama tidak dibenarkan.

“Pasar pagi dan pasar malam masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB sehingga 9 Jun ini.

Selain itu, semua jenis taman di negeri ini dibenarkan untuk dibuka kepada rakyat beriadah bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga boleh dilakukan. Walau bagaimanapun, sebarang perkhemahan dan pendakian masih tidak dibenarkan,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, surat pekeliling yang lebih terperinci mengenai keputusan kerajaan negeri itu akan dikeluarkan sebagai rujukan dan perkara lain yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan adalah tertakluk kepada tatacara SOP Majlis Keselamatan Negara.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca