Berdasarkan catatan pada suku tahun pertama 2019, penduduk di Malaysia dianggarkan berjumlah kira-kira 32.66 juta. Menurut Perangkaan Demografi, daripada jumlah tersebut, penduduk lelaki adalah melebihi jumlah penduduk perempuan.
Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, 16.86 juta daripada jumlah keseluruhan adalah penduduk lelaki, manakala penduduk perempuan yang dicatakan dalam tempoh itu berjumlah 15.80 juta.
“Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai laporan perangkaan demografi itu.
Tambah beliau lagi, sebanyak 29.31 juta daripada 32.66 juta itu merupakan penduduk warganegara manakala 3.35 juta lagi bukan warganegara.
Selangor mempunyai 6.54 juta orang penduduk meletakkannya di tempat teratas negeri yang mempunyai komposisi penduduk tertinggi. Komposisi penduduk terendah pula dipegang oleh Putrajaya di mana terdapat hanya 92,640 orang penduduk berbanding tempat lain.
Beliau mengatakan bahawa jumlah penduduk yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 itu meningkat 1.1 peratus berbanding 32.29 juta pada suku tahun pertama 2018.
Menurut Mohd Uzir, jumlah penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) menunjukkan penurunan daripada 7.71 juta pada suku tahun pertama 2018 kepada 7.69 juta pada suku pertama tahun ini. Bagi penduduk berusia 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) pula, jumlah keseluruhan meningkat daripada 22.51 juta kepada 22.80 juta bagi tempoh sama.
Bagi mereka yang berumur tua pula iaitu dalam lingkungan 65 tahun dan ke atas, bilangan keseluruhan meningkat daripada 2.07 juta kepada 2.17 juta bagi tempoh yang sama.
“Trend yang ditunjukkan ini adalah selari dengan negara-negara maju iaitu negara ke arah penuaan penduduk,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Mohd Uzir berkata sebanyak 116,850 kelahiran hidup direkodkan pada suku pertama 2019 manakala sebanyak 42,647 kematian direkodkan dalam tempoh itu.