Penduduk ‘Berpesta’ Kutip Susu Tin, Pemilik Lori Terbalik Merayu Agar Ia Dipulangkan Semula

Sebuah treler muatan susu yang dalam perjalanan menghantar bekalan sekitar Bachok terbalik di simpang tiga Kampung Tawang di sana pada pagi Rabu. Insiden yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan ribuan stok susu jatuh berteraburan di atas jalan.

Satu rakaman video berdurasi 34 saat telah tular di laman Facebook di mana beberapa orang penduduk kampung dilihat mengutip susu yang jatuh itu.

Pemilik lori tersebut merayu agar orang ramai memulangkan kembali susu yang diambil di tempat kemalangan itu berlaku.

Menurut Azizan Zainudin yang berusia 57 tahun, sewaktu insiden dia berada di Klang, Selangor sebelum diberitahu tentang nahas yang menimpa anaknya iaitu Mohd Baihaqi dan pekerjanya bernama Syafiq.

Ujarnya, mereka cuma mengambil upah menghantar bekalan susu tin tersebut dari Klang ke gudang bertempat di Pengkalan Chepa.

“Daripada 1,500 karton susu, anak dan pekerja hanya sempat ambil 149 karton dan 11 tin susu saja.”

“Selebihnya diambil orang ramai dan dipercayai ada orang menyamar sebagai tauke,” katanya.

Azizan mengatakan bahawa dia terpaksa menanggung kos kerugian sebanyak RM120,000 selain anak dan kelindan lori mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.”

“Setakat hari ini, dua penduduk kampung sudah hantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian untuk memudahkan urusan saya dengan pemilik barangan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, laporan berhubung insiden itu telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok.

Artikel Lain Untuk Di Baca