Pendaftaran Undi 18 Secara Automatik, Termasuk Rakyat Malaysia Di Luar Negara

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, termasuk mereka yang tinggal di luar negara, akan didaftarkan secara automatik sebagai pengundi bermula 31 Disember 2021.

Perkara ini ditetapkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik serta menurunkan usia minimum pengundi kepada 18 tahun (Undi 18) menjelang Disember tahun ini.

“Menurut undang-undang, tidak ada pengecualian,” kata Datuk Mas Ermieyati dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat. “Sama ada mereka berada di luar negara, dan tidak berminat untuk mendaftarkan diri, mereka secara automatik akan didaftarkan sebagai pengundi.”

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebenaran untuk mengundi melalui pos tidak diberikan kepada pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Mereka yang berada dalam kategori tersebut diminta untuk mengemas kini maklumat kediaman mereka kepada SPR.

Pengundian melalui pos dibenarkan untuk beberapa kategori rakyat Malaysia, termasuk pegawai SPR, pengamal media yang bertugas pada hari pilihan raya, serta rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di luar negara kecuali di Singapura, Brunei, Kalimantan, dan Thailand Selatan.

Untuk baca artikel berkaitan lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca