Pencipta, Penyanyi Lagu Selagi Ada Rindu, Shafie Ahmad Meninggal Dunia

Pencipta dan penyanyi lagu Selagi Ada Rindu, Shafie Ahmad, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Long dilaporkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada petang semalam akibat masalah paru-paru berair.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, bapanya itu meninggal dunia tepat jam 6.50 petang di sisi kesemua tujuh anak dan isteri selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan terbabit.

Menurutnya lagi, Allahyarham sebelum ini dirawat selama 25 hari di Hospital Sik sejak awal Januari lalu akibat demam panas. Namun begitu, beliau dipindahkan ke HSAH pada 8 Februari.

“Doktor beritahu paru-paru abah (Shafie Ahmad) berair selain turut mengesyaki abah menghidap kanser darah,” ujar anak Allahyarham.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Shafie Ahmad sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Batu 8, Sik pada tengah malam tadi dan bakal dikebumikan pagi ini.

Selain terkenal dengan lagu Selagu Ada Rindu, Allahyarham turut mencipta beberapa karya lain seperti Cinta Pantai Merdeka nyanyian Tropika atau kini lebih dikenali dengan nama Jinbara serta lagu Al Jannah dendangan Mawi.

Pihak Lejen Press mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Shafie Ahmad. Semoga mereka diberikan ketabahan untuk menjalani ujian ini.

Untuk membaca artikel lain berkaitan selebriti tanah air, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca