Pencipta Dan Penyanyi Lagu Selagi Ada Rindu Kini Terlantar Sakit

Pencipta dan penyanyi lagu berjudul Selagi Ada Rindu, Shafie Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Long kini terlantar sakit di hospital akibat demam panas.

Menurut anaknya iaitu Nur Muhammad Idhoffy, bapanya kini sedang dirawat di Hospital Sik di Kedah sejak 25 hari lalu selepas demamnya tidak kebah-kebah.

“Saya setia menjaga Abah di sini (hospital), Abah tidak berselera makan menyebabkan berat badannya susut mendadak,” cerita anaknya yang berusia 18 tahun.

“Sehingga sekarang pelbagai ujian darah sudah dilakukan namun masih tidak menemui penyakit sebenar Abah, minggu depan Abah akan jalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Jika masih tiada sebarang penyakit ditemui, kami akan ikhtiar untuk menjalani perubatan Islam pula,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Difahamkan, bapanya yang kini berusia 54 tahun itu tidak mempunyai sejarah penyakit kronik sebelum ini kecuali mengidap kencing manis yang masih terkawal.

“Abah tidak bermaya dan hendak ke bilik air pun terpaksa dipapah,” katanya.

Menurutnya lagi, bapanya mula demam sejak berpindah ke Sik pada Januari lepas.

“Kami berpindah ke Sik kerana Abah mahu mencari ilham untuk mencipta lagu dalam suasana kampung.”

“Apabila terlantar (sakit), Abah membatalkan semua jemputan menyanyi di seluruh negara, dalam masa yang sama usaha Abah untuk melancarkan single album terbaharunya, Demi Mu Kasih turut terbantut,” katanya.

Pada masa yang sama, Idhoffy juga turut meluahkan rasa kecewanya apabila terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tampil menyebarkan berita palsu bahawa bapanya sudah meninggal dunia.

“Sebelum Abah jatuh sakit, beliau aktif mencipta lagu, saya sekeluarga mengharapkan semua peminat serta rakan seperjuangan Abah dapat mendoakan Abah kembali sembuh seperti sedia kala agar dapat meneruskan perjuangan beliau menghasilkan karya dan menghiburkan peminatnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Untuk rekod, selain terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, Pak Long turut dikenali menerusi lagu berjudul Cinta Pantai Merdeka.

Untuk baca artikel lain mengenai industri hiburan di negara kita, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca