Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan kemunculan misteri ‘nenek kebayan’ di sebuah hospital dekat Seremban, Negeri Sembilan.
Kejadian mistik itu dikatakan berlaku kira-kira jam 2 atau 3 pagi di wad wanita hospital berkenaan. Dalam insiden yang menyeramkan itu, kelihatan seorang warga emas sedang berjalan. Posisi badannya yang bongkok itu membuatkan rata-rata menganggap pesakit itu merupakan nenek kebayan.
Ada juga yang mendakwa bahawa wad berkenaan tidak dihuni oleh warga emas dan ia cuma dipenuhi dengan pesakit muda sahaja. Kuasa tular telah menyebabkan isu ini mula tersebar ke medium lain sekali gus menyebabkan warganet menggelar entiti itu sebagai nenek kebayan.
Pelbagai spekulasi telah muncul berikutan foto itu. Ada yang mengatakan hospital itu sebenarnya berhantu dan ada juga yang mendakwa mereka memang pernah berjumpa dengan nenek kebayan itu sebelum ini. Keadaan ini memaksa Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) tampil memberi penjelasan sebenar.
Berdasarkan satu kenyataan oleh JKNS, warga emas yang didakwa nenek kebayan itu sebenarnya merupakan pesakit di hospital berkenaan.
Sehubungan dengan itu, JKNS memohon agar hantaran tersebut dipadam bagi menjaga privasi pesakit dan juga waris di samping mengelak salah tanggapan daripada berlaku.
Pada masa yang sama, Pengarah Kesihatan negeri iaitu Datuk Dr Zainuddin Ali turut meminta supaya perkara ini tidak ditularkan bagi menghormati pesakit dan juga waris, lapor Sinar Harian.