Ankara: Buku yang dibuang oleh penduduk setempat di Ibu Kota Turki tidak semestinya akan berakhir menjadi kertas kitar semula atau sampah. Sebaliknya, buku berkenaan mendapat nafas baharu hasil daripada perpustakaan bukan konvensional yang dibina oleh sekumpulan pemungut sampah perbandaran.
Keadaan buku yang ditinggalkan di kaki lima oleh penduduk bersama-sama dengan sampah lain, memberikan idea kepada kumpulan berkenaan untuk mengitar semula buku-buku tersebut dan menjadi bahan bacaan kepada pembaca.
Perpustakaan ini dibuka lebih 7 bulan lalu oleh pemungut sampah dan pengurusnya. Ia ditempatkan di kilang yang tidak lagi beroperasi di mana selama ini menjadi tempat pekerja berkenaan berkumpul.
Kilang yang sudah ditinggalkan sejak 20 tahun lalu, kini menjadi ruang yang meriah untuk kakitangan menghabiskan masa rehat mereka dengan membaca buku yang koleksinya mencecah sehingga 4,750 naskah.
“Asalnya, kewujudan ruang itu hanya bertujuan untuk memberi peluang kepada pekerja dan keluarga mereka untuk meminjam buku sehingga 15 hari tetapi kini ia juga dibuka kepada umum,” kata pengurus tapak kerja, Emirali Urtekin.
Tambahnya lagi, masih ada 1,500 buku lagi yang belum diletakkan di rak dengan semakin banyak buku diselamatkan dan didermakan.
Bangunan ini sudah pun diubah suai dengan pelbagai kemudahan seperti paip tembaga yang dijadikan sebagai lampu, menyediakan kedai gunting rambut , kafeteria ,tempat bersosial serta pejabat untuk kakitangan pengurusan.
Sebahagian buku yang tidak dapat lagi dibaca mereka gunakan sebagai rak buku. Buku juga disusun kepada 17 kategori merangkumi novel romantik, buku teks ekonomi, cerita ngeri dan sastera kanak-kanak.
Perpustakaan itu menawarkan pelbagai karya yang ditulis pengarang ternama luar negara dan Turki termasuk JK Rowling, Charles Dickens, JRR Tolkien dan Orhan Pamuk serta Fifty Shades of Grey oleh EL James.
Ia beroperasi 24 jam sehari untuk pekerja dan memiliki pustakawan sendiri yang dibayar oleh majlis perbandaran, iaitu Eray Yilmaz, 20.
Eray berkata, sehingga kini sebanyak 147 buku dipinjam oleh ahlinya dan termasuk 700 pemungut sampah dari daerah Cankaya.
Menurut majlis perbandaran, perkhidmatan baharu itu menjadi satu-satunya perpustakaan daerah yang unik dibuka kepada umum.
Perpustakaan itu menerima perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa, sekali gus mendorong lebih banyak buku yang tidak hanya terhad daripada sumber asalnya, iaitu tong sampah.
Orang ramai dari kota lain di Turki sanggup membayar kos pos untuk menghantar buku ke perpustakaan, manakala pengutip sampah terus mengumpulkan buku yang dibuang.
Walaupun tiada sebarang perancangan untuk memperluaskan lagi ruang sedia ada, perpustakaan ini terus mendapat sambutan yang tidak putus-putus dari pengunjung.
Mereka turut melakukan perpustakaan bergerak dan mengunjungi sebahagian sekolah di Ankara setiap 15 hari supaya dapat dinikmati oleh kanak-kanak.
Usaha ini dapat membantu sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan di sekolah mereka.
Para pelajar yang berkunjung dapat menikmati persembahan muzik oleh Tin Group yang dianggotai oleh 11 pekerja yang menggunakan barang yang boleh di kitar semula seperti logam dan bekas sampah sebagai alat muzik.
Mungkin satu hari nanti di Malaysia juga akan terdapat perpustakaan yang unik sebegini.
Sumber: Berita Harian