Pemuda Ini Nekad Jalan Kaki Dari Shah Alam Ke Tanah Merah Selepas Sebulan Tidak Bekerja

Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang kini berada di fasa ke-4, seorang lelaki nekad untuk berjalan kaki pulang ke kampung halaman atas desakan hidup setelah sebulan tidak bekerja. Menurut Sara Anisa, suaminya dalam perjalanan pulang ke kampung selepas dihalau dari rumah sewa milik majikannya.

Sara Anisa atau nama sebenarnya Siti Nur Fatend Sefeai, 29, berkata, tindakan suaminya, Muhamad Nor Ramlee, 29, hanya diketahui menerusi status yang dimuat naik di Facebook kelmarin (Ahad).

Siti Nur Fatend berkata, dia telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk mendapatkan surat kebenaran mengambil suaminya tetapi polis tidak meluluskan permohonan berkenaan.

Katanya, dia redha dengan keputusan itu dan berharap suaminya tiba di Tanah Merah dalam keadaan selamat dan sihat.

Kisah pemuda ini mendapat perhatian selepas Muhamad Noor berkongsi pengalamannya berjalan kaki menerusi hantaran dan video Live di Facebook.

Memetik laporan Harian Metro, pemuda ini nekad untuk pulang ke kampung kerana sudah kehabisan wang untuk meneruskan hidup di Shah Alam.

Dia memberi reaksi itu ketika ditanya tujuannya berjalan kaki pulang ke kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan.

Bercerita lanjut, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam serta tinggal di asrama yang disediakan majikan di Seksyen 7.

Namun, dia mengambil keputusan untuk pulang kerana tidak mampu menyara diri dan nekad ke Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) kelmarin, berbekalkan wang RM100 yang disimpannya.

“Sebaik tiba di TBS, saya dimaklumkan tiada tiket bas menghala ke Pantai Timur dan ikutkan mahu bermalam di terminal saja tetapi tidak dibenarkan pihak pengurusan.

“Jadi, saya ambil keputusan membeli tiket bas ke Gopeng, Perak dan bertolak jam 6 petang sebelum tiba jam 9 malam.

“Namun, saya hanya memulakan perjalanan pulang ke kampung dengan berjalan kaki pada jam 7 pagi semalam bermula dari Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng, Ipoh,” jelasnya.

Menerusi video perjalanannya yang dikongsikan di laman sosial Facebook, dia berhenti berehat di RTC Gopeng selepas mengharungi beberapa jam perjalanan untuk mengecas telefon bimbit dan sebagainya. Cuaca yang tidak menentu turut memberi cabaran kepada dirinya untuk meneruskan perjalanan.

Selepas berehat dan tidur di RTC Gopeng, dia meneruskan kembali perjalanannya untuk pulang ke kampung. Setibanya di Ipoh, dia turut diduga dengan keadaan tapak kasutnya yang pecah. Hal ini menyukarkan lagi dirinya untuk meneruskan perjalanan dalam keadaan kasut yang sedemikian.

Menurutnya lagi, dia cuba untuk menahan kenderaan termasuk lori untuk mendapatkan bantuan pulang ke kampungnya. Bagaimanapun, tiada yang berhenti untuk menumpangkannya.

“Saya cuba menahan kenderaan tetapi tiada satu pun yang berhenti mungkin kerana mereka takut untuk menumpangkan saya.

“Walaupun lapar dan dahaga, saya cuba bertahan untuk berpuasa tetapi akhirnya terpaksa berbuka dengan minum air tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Pemuda ini berkata, dia berdepan dengan dua sekatan jalan raya di Gopeng dan Ipoh namun tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Setibanya di Gerik, ada sebuah lori berhenti dan mujurlah pemandunya sudi menumpangkan saya dan kami menyambung perjalanan selepas waktu berbuka tadi (semalam).

“Ini kali pertama saya jalan kaki sejauh ini dan tidak sangka kisah ini mendapat perhatian ramai,” katanya.

Walau bagaimanapun, menerusi laman sosial Facebook salah seorang ahli keluarganya, Muhamad Noor dilaporkan sudah selamat sampai ke kampung halamannya malam tadi.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca