Pemuda Ini Hasilkan Potret Dr. Noor Hisham Dengan Serbuk Milo

Nama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semakin menjadi bualan ramai terutamanya semenjak penularan COVID-19 di negara kita.

Sekiranya potret Dr. Noor Hisham yang diabadikan pada cawan Starbucks pernah tular sebelum ini, potret figura berkenaan menggunakan serbuk Milo pula yang mencuri perhatian orang ramai pada kali ini.

Memetik laporan mStar, individu yang lebih mesra disapa sebagai Naim mengaku idea berkenaan datang tanpa diduga ketika menonton pelbagai video seni di YouTube.

“Idea itu datang secara tiba-tiba semasa saya sedang menonton video-video hasil seni. Saya tertarik dengan seni yang menggunakan medium seperti pasir dan serbuk kopi.

Saya pun cuba cabar diri selepas menonton video berkenaan. Potret wajah Dr. Noor Hisham ini menjadi pilihan sebagai tanda penghargaan saya dan rakyat Malaysia terhadap kerja keras beliau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya kepada mStar.

Naim turut menjelaskan proses penghasilan potret itu hanya mengambil masa selama tiga jam tetapi ia turut memberi cabaran buat dirinya.

“Ia merupakan minuman harian dan saya yakin ia juga merupakan minuman kegemaran sebahagian besar daripada rakyat Malaysia. Pada pendapat saya, terdapat nilai sentimental di situ apabila ia melibatkan minuman yang digemari oleh seluruh rakyat Malaysia dilakar bersama lukisan tokoh yang dihormati oleh masyarakat berbilang kaum di negara kita,” jelasnya.

Naim turut akui bahawa dia tidak menyangka ciapan itu bakal menerima reaksi daripada orang ramai termasuk Dr. Noor Hisham sendiri yang meninggalkan komen pujian menerusi laman Twitter.

Semoga rakyat Malaysia boleh bersatu dalam memerangi penularan wabak COVID-19.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Dr. Noor Hisham, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca