Pemimpin Pakatan Harapan Tolak Idea Kerajaan Tanpa Parti

Beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa mereka menolak cadangan kerajaan tanpa parti yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Meskipun berpendapat cadangan kerajaan tanpa parti itu merupakan sesuatu yang baik, namun, ahli parlimen PH merasakan apa yang perlu dipertahan dan dikekalkan adalah kerajaan PH yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, beliau berpendapat idea kerajaan tanpa parti atau kerajaan perpaduan adalah satu cadangan yang menarik dan perlu dipertimbangkan.

Walau bagaimanapun, idea berkenaan tidak boleh dilaksanakan atas pengkhianatan, penipuan, rasuah, pengkhianatan mandat rakyat atau dengan mempromosikan perpecahan negara.

“Ia merupakan satu pandangan yang tidak masuk akal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan cara memusnahkan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, Lim Kit Siang berkata, cara yang ideal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan negara ialah membina Pakatan Harapan dan menyakinkan parti politik dan entiti lain untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia baru berasaskan mandat Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menerusi kenyataan medianya melihat Tun Dr. Mahathir seperti menolah untuk memenuhi janji-janji manifesto PH.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, sejak 21 bulan lepas, PH bekerja keras memenuhi janji manifesto PRU14 termasuklah penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dan projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal.

“Malah, kerajaan PH juga memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion, dan mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi,” katanya.

Bagi ahli parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa pula, beliau berhujah bahawa sistem kerajaan perpaduan tidak sepatutnya ditubuhkan dan kerajaan PH perlu dikekalkan.

“Kerajaan baru ini tidak seperti manifesto PRU14 dan ia menentang mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14,” ujar ahli parlimen Serdang, Ong Kian Ming pula.

Ahli Parlimen Setiawangsa daripada PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat Malaysia itdak memerlukan pentadbiran “Kerajaan Tanpa Parti” yang dicadangkan, sekalipun dengan niat yang baik.

Katanya, bentuk kerajaan yang dicadangkan hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kemelut politik Malaysia, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca